Badan induk bola sepak Eropah, UEFA akan melakukan siasatan terhadap Turki, selepas pemain-pemain pasukan itu meraikan jaringan Cenk Tosun menentang Albania dengan melakukan tabik hormat ala tentera.
Turki menang 1-0 dalam perlawanan yang diadakan di Istanbul pada Jumaat lalu, dan sebelum itu tentera Turki dilaporkan bertempur dengan pejuang puak Kurdish di utara Turki.
Tosun memuatnaik gambar tabik tersebut di Instagram dengan mesej:
“Demi negara, terutama kepada mereka yang sedang mempertaruhkan nyawa untuk negara ini.”
Kemenangan ke atas Albania membenarkan Turki menduduki tangga teratas kumpulan kelayakan ke kejohanan Euro 2020.
Pada Rabu lalu, tentera Turki melancarkan serangan ke wilayah yang dikawal oleh kumpulan diketuai puak Kurdish, Pasukan Demokratik Syria (SDF).
Persekutuan Bola Sepak Turki turut memuatnaik sebuah imej dimana barisan pemain dan jurulatih turut melakukan tabik di bilik persalinan dengan mesej:
“Di penghujung jalan nanti kejohanan akan menunggu! Selepas tujuh perlawanan, kami kekal di atas saingan Kumpulan H pusingan kelayakan Euro 2020. Kemenangan ini didedikasikan untuk bala tentera kami.”
Seorang jurucakap UEFA, Philip Townsend ketika bercakap kepada media di Itali berkata, tabik ala tentera oleh pemain Turki boleh dilihat sebagai satu bentuk provokasi.
“Saya beri jaminan kami akan menyiasat perkara ini, biarkan kami lakukan semakan,” ujar beliau.
Peraturan di dalam UEFA tidak membenarkan sebarang bentuk kelakuan, kata-kata, atau mesej yang boleh mendatangkan provokasi, yang tidak sesuai dengan sebarang bentuk aktiviti kesukanan, terutama provokasi yang membawa mesej secara politik, ideologi, keagaamaan yang boleh memudaratkan.
Dua pemain antarabangsa Jerman, Ilkay Gundogan dan Emre Can turut memberi reaksi masing-masing terhadap tabik ala tentera yang dilakukan oleh pemain Turki di Instagram masing-masing, sebelum memadamnya semula.