Kapten Tottenham Hotspur, Hugo Lloris yang mengalami kecederaan siku dilaporkan akan berehat sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini dan dijangka kembali cergas pada bulan Januari akan datang.
Spurs telah pun mengesahkan perkara berkenaan melalui kenyataan media yang disiarkan di laman web rasmi kelab tersebut.
“Hugo Lloris telah menjalani pemeriksaan susulan pada pagi ini dan beliau disahkan mengalami dislokasi siku dalam perlawanan menentang Brighton pada Sabtu.
“Sekalipun mendapati beliau tidak memerlukan sebarang pembedahan, kapten kelab tersebut mengalami kecederaan ligamen dan beliau dijangka tidak akan kembali berlatih sehingga akhir 2019.
“Hugo kini menggunakan pendakap tangan dan akan berehat untuk menjalani proses rehabilitasi di bawah pengawasan staf perubatan kami di Hotspur Way.”
Hugo Lloris has undergone further assessment this morning after sustaining a dislocated elbow in our match against Brighton on Saturday.
— Tottenham Hotspur (@SpursOfficial) October 7, 2019
Penjaga gol berusia 32 tahun itu mendapat kecederaan tersebut semasa perlawanan menenang Brighton & Hove Albion ketika perlawanan baru memasuki minit ketiga.
Pemenang juara dunia tersebut melompat untuk membuat tangkapan bola hantaran Pascal Gross. Beliau kemudiannya jatuh secara tiba-tiba dan mendaratkan tangannya terlebih dahulu.
Dengan kecederaan tersebut, tempat beliau selaku penjaga gol utama dijangka akan diambil alih oleh Paulo Gazzaniga. Kini peluang terhidang buat penjaga gol kelahiran Argentina itu untuk membuktikan kemampuannya selepas sekian lama menjadi penjaga gol simpanan di Liga Perdana Inggeris (EPL).