Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menerusi laman Facebook rasmi FAM malam tadi mengharapkan skuad negara dapat meneruskan aksi konsisten menjelang aksi menentang Vietnam pada Khamis depan.
Perlawanan di Hanoi lebih penting untuk melihat sejauh mana prestasi skuad Harimau Malaya meningkat selepas pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada Disember tahun lalu dalam pentas final Kejohanan AFF Suzuki 2018 – Vietnam menang 1-0 seterusnya 3-2 secara agregat dan menjulang kejuaraan.
Selain itu, perlawanan yang merupakan aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu mahu dijadikan sebagai pemangkin kebangkitan skuad negara di peringkat yang lebih tinggi. Skuad Naga Emas itu juga beraksi di Piala Asia 2019 pada Januari lalu.
Kemenangan besar ke atas Sri Lanka dalam aksi pemanas badan malam tadi juga memberi petanda skuad negara bersemangat kerana lawan menurunkan barisan pemain yang sama kecuali penjaga gawang ketika tewas tipis 0-1 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Dunia, Kumpulan H, sebelum ini.
Malaysia menang 6-0 hasil hatrik Syafiq Ahmad pada minit ke-9, ke-76 dan ke-89 sementara tiga lagi gol dijaringkan oleh pertahanan, Shahrul Saad (14′), Norshahrul Idlan Talaha (17′) dan pemain sayap muda negara, Akhyar Rashid pada minit ke-51.
“Perlawanan ini sememangnya pemanas badan terbaik buat Harimau Malaya namun jangan biarkan kemenangan ini melekakan kita sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat.
“Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan konsisten, apa yang penting pemain perlu bangkit menentang Vietnam,” ujar Hamidin sambil menekan ia adalah sesuatu yang tidak mustahil.
“Jadikan perlawanan sebelum ini dan kemenangan hari ini sebagai pemangkin untuk kita bangkit dengan kemenangan. Misi itu tidak mustahil dengan berbekalkan semangat juang tinggi demi negara,” tambahnya lagi serta menuntut skuad negara untuk lebih fokus.
Dalam dua perlawanan sebelum ini Harimau Malaya tewas 1-2 kepada UAE dan menang 3-2 ke atas musuh ketat, Indonesia, dalam aksi pembukaan kumpulan, bulan lalu. Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ketiga dengan menggumpul tiga mata.
Sementara Vietnam pula baru beraksi sekali ketika terikat tanpa jaringan menentang Thailand di halaman lawan. Ini adalah aksi pertama mereka di halaman sendiri pada tahun ini.
Kredit Featured Image: FAM