Kerjasama erat antara Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persekutuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPRO) Asia/Oceania telah berjaya menganjurkan FIFPRO Asia/Oceania Legal Conference yang diadakan di Hotel Grand Millenium Kuala Lumpur.
Wakil daripada FIFPRO Asia/Oceania berkampung selama tiga hari bermula Sabtu lalu dalam membincangkan isu-isu berkaitan undang-undang yang melibatkan pemain bola sepak profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFAM, Izham Ismail ketika ditemui pada persidangan tersebut menjelaskan perlunya jalan penyelesaian baharu bagi isu-isu berkaitan seperti masalah tuntutan gaji dan penamatan kontrak sebelah pihak.
”Kita [PFAM dan Malaysia] membawa isu-isu seperti kontrak dan juga bagi mewujudkan satu sistem penyelesaian undang-undang atau penyelesaian masalah yang lebih baik di Malaysia.”
”Kami bersama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang dalam usaha menubuhkan sebuah ‘kamar’ penyelesaian masalah atau National Dispute Resolution Chamber (NDRC) bersama-sama dengan FIFA dan juga FAM.”
”Ia untuk memastikan kes-kes pemain yang melibatkan tunggakan gaji, kes penamatan kontrak secara tidak adil dapat dibuat atau kes-kes ini dapat didengari dengan lebih adil berbanding sebelum ini.”
Persidangan ini nyata menjadi landasan terbaik buat setiap delegasi dalam bertukar buah fikiran serta mencari solusi terbaik menangani permasalahan utama seringkali dihadapi pemain terutamanya melibatkan isu tunggakan gaji, salah laku ejen dan kontrak.
Kredit foto: Syamil Rosli | FIFPRO Asia/Oceania & PFAM