Selamat malam pembaca SemuanyaBOLA. Seperti biasa, pada malam Isnin kami akan membentangkan sidang editorial SB yang menyatakan pendirian kami secara kolektif tentang sesuatu isu.
Pada Jumaat lalu, seluruh peminat bola sepak tempatan dihidangkan dengan satu berita gembira apabila penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin bakal beraksi bersama pasukan liga utama Belgium, KV Kortrijk.
Seperti yang diketahui semua, Luqman terlebih dahulu akan menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City bermula Januari 2020 sebelum ke Belgium apabila usianya menjengah 18 tahun pada awal bulan Mac.
Langkah hebat diambil Luqman pada usia yang begitu muda ini jelas memerlukan pengorbanan serta kecekalan tinggi dalam diri penyerang berbakat ini bagi mengharungi episod baharu dalam karier bola sepaknya.
Sudah pasti masalah makanan, perubahan cuaca serta persekitaran baharu akan menjadi masalah utama pada peringkat awal buat penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.
Situasi itulah yang menuntut aspek psikologi pada tahap tertinggi agar Luqman tidak terasa ‘asing’ apabila berkelana di Eropah nanti.
Secara dasarnya hanya ketenangan minda dan emosi yang stabil dalam diri seseorang pemain itu bakal menjadi senjata utama buat mereka bagi menjalani sesi latihan dengan baik.
Seperti yang dinasihatkan oleh pemilik kelab KV Kortrijk dan Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan selepas majlis pengumuman tempoh hari, beliau mahu Luqman sentiasa rajin berlatih, mempelajari bahasa Inggeris dan tidak mudah mengaku kalah.
Dalam erti kata lain, segalanya sudah berada di landasan tepat buat Luqman Hakim, hanya beliau sahaja mampu mencorakkan karier yang diidamkannya dengan iringan semangat serta jati diri yang jitu.
Berita pemergian Luqman Hakim ke Eropah ini sudah pasti akan diikuti rapat peminat bola sepak serta pengamal media tempatan.
Ia dibuktikan apabila belum pun Luqman menyertai kelab tersebut, akaun Facebook rasmi KV Kortjrik sudah pun mula dibanjiri dengan kehadiran rakyat Malaysia.
Besar harapan kita semua untuk melihat Luqman mampu menjadi pemain yang membanggakan negara di pentas Eropah, namun kita perlu sedar, harapan yang digalas Luqman terlalu berat.
Berikan masa buatnya untuk menyesuaikan diri dengan baik ketika di Cardiff City dan diteruskan di KV Kortrijk nanti, peminat dan pengamal media perlu terus memberikan dorongan buat Luqman dalam misinya untuk menjadi kebanggaan negara dan seluruh rakyat Malaysia khususnya.
Dengan potensi besar dimiliki, tidak mustahil Luqman Hakim mampu menyinar hasil usaha keras dan disiplin beliau sendiri dalam menjadikannya penyerang yang disegani satu hari nanti.
Selamat maju jaya, Luqman Hakim Shamsudin!
Kredit foto: Uwais Qarni, asiana.my & National Football Development Programme – NFDP