Keputusan terikat 1-1 antara Sabah dan Perak di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi sudah cukup buat skuad ‘Yob’ untuk pulang gembira ke Ipoh apabila berjaya mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2019.
Perak yang hanya memerlukan satu mata pada perlawanan ini untuk mengiringi Pahang ke peringkat suku akhir dilihat lebih mendominasi aksi babak pertama.
Penguasaan permainan yang dijelmakan anak buah Mehmed Durakovic itu membuahkan hasil pada minit ke-26 apabila Ronaldo Henrique Silva berjaya membuka tirai jaringan.
Berpunca daripada larian pantas dari sebelah kanan pintu gol Sabah oleh Nazirul Naim Che Hashim, pemain kebangsaan itu melakukan ‘cutback’ mencari Ronaldo yang kemudiannya melepaskan rembatan bagi menewaskan penjaga gol, Rozaimie Rohim.
Jaringan itu nyata meningkatkan moral para pemain Perak yang kelihatan semakin bersemangat untuk menambah jaringan.
Ronaldo hampir menambah jaringan kedua buat pasukan pelawat selepas meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti, tetapi Rozaimie lebih bersedia menghalang percubaan tersebut.
Kedudukan kembali terikat ketika aksi babak kedua baru berusia tiga minit selepas Maxsius Musa menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Mohd Azzizan Nordin.
Tersentak dengan jaringan itu, Perak menggandakan asakan dan memiliki dua peluang terbaik untuk sekali lagi berada di hadapan. Rozaimie bagaimanapun bertindak cemerlang dalam menafikan percubaan daripada Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan J. Partiban pada minit ke-73 dan 77.
Sabah yang tetap mengintai kemenangan kedua walaupun ia tidak memberikan sebarang makna, lebih banyak menggunakan situasi bola mati bagi mengancam kubu Perak. Tetapi usaha mereka juga masih tidak mampu untuk mengubah kedudukan.
Keputusan 1-1 itu menyaksikan Perak akan bertemu juara kumpulan D, Selangor di peringkat suku akhir manakala Pahang pula akan berdepan Melaka United.
Kredit foto: MFL