Sentuhan berbisa, Ali Mabkhout harus diberikan tumpuan khusus oleh barisan benteng skuad kebangsaan jika mahu merekodkan keputusan positif menjelang aksi Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada Selasa depan.
Penyerang yang juga merupakan kapten skuad The Whites itu telah menghasilkan lapan gol sepanjang tahun 2019 termasuk empat gol yang diledaknya dalam saingan Piala Asia 2019 tempohari.
Dalam Piala Asia yang berlangsung di halaman sendiri, UAE telah melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tumbang kepada Qatar dengan keputusan 0-4 – meleburkan impian ke final serta rekod lima perlawanan tanpa kalah di kejohanan tersebut.
Sebagaimana dalam edisi 2015, UAE juga dikecewakan di peringkat yang sama, ketika itu tewas kepada juara edisi itu, Australia dengan keputusan 0-2 di mana Ali Mabkhout telah dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol peribadi.
Dalam misi mahu melayakan diri ke Piala Dunia 2022, sentuhan penyudah penyerang berusia 28 tahun itu pastinya akan ditagih oleh pengendali UAE, Bert van Marwijk terutamanya dalam aksi menentang Malaysia bagi memperolehi keputusan pembukaan yang cemerlang di pusingan kedua kelayakan kali ini.
Dalam aksi terakhir pemanas badan sebelum berdepan Malaysia, Ali Mabkhout telah meledak hatrik ketika membantu pasukannya membelasah Sri Lanka 5-1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa.
Benteng skuad negara terutamanya gandingan Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin perlu memastikan kesefahaman yang tinggi boleh dibentuk agar penyerang yang dikatakan bijak menghidu ruang dan pantas itu dapat dirantai sepenuhnya pada aksi tersebut.
Dalam aksi di Gelora Bung Karno, gandingan mereka agak longgar sehingga membolehkan Indonesia kerap kali memecah perangkap offside yang dibuat oleh barisan pertahanan Harimau Malaya. Mungkin disebabkan faktor beraksi di laman lawan, mereka perlu memperbaiki gandingan mereka agar ianya tidak berulang.
Beraksi di halaman sendiri dan dengan harapan Stadium Nasional Bukit Jalil akan dipenuhi puluhan ribu penyokong, skuad negara akan mempersembahkan aksi terpuji untuk mengekang UAE. Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe turut dikatakan memiliki perancangan berbeza untuk berdepan UAE.
Kredit Featured Image: Martin Dokoupil / EPA