Penjaring gol Indonesia pada perlawanan bertemu Malaysia semalam, Beto Goncalves nyata kecewa dengan apa yang berlaku pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam tadi.
Penyerang berusia 38 tahun itu dua kali berjaya menggamatkan segenap ruang Stadium Utama Gelora Bung Karno pada babak pertama selepas percubaannya berjaya menewaskan Farizal Marlias di gawang gol negara.
”Perkara seperti itu tidak boleh berlaku. Kita sama-sama manusia dan mereka [Malaysia] hanya berbeza negara. Kita perlu untuk menghormati mereka.”
”Sekiranya kita bermain disana [Stadium Nasional Bukit Jalil] dan mereka melakukan perkara yang sama, bagaimana dengan kita? Saya sedih dengan perkara itu.”
”Saya berharap kita dapat mengubah mentaliti, kita datang ke stadium untuk memberikan sokongan buat pasukan. Bukannya untuk melakukan masalah dengan penyokong lain [pasukan lawan],” jelas Beto yang mengulas mengenai insiden tersebut menerusi video yang dirakam Bolasport.
Beto Goncalves yang pernah beraksi untuk pasukan Pulau Pinang pada musim 2015 turut mengakui bahawa kekecohan sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan mengganggu fokus pasukan.
”Ya, kerana kita sudah fokus terhadap perlawanan itu [malam tadi], tiba-tiba ada masalah begitu yang membuatkan kita ‘down’. Kita seharusnya buat mereka [penyokong] lebih tenang, tetapi kejadian yang berlaku tadi membuatkan kami hilang fokus. Saya juga merasakan begitu dan kita hilang fokus.”
Kredit foto: ANTARA FOTO/Sigid Kurniawan