Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi dilaporkan Astro Awani membuat permohonan maaf kepada Malaysia berikutan kekecohan yang ditimbulkan penyokong fanatik mereka pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK) malam tadi.
Seperti yang diketahui umum, belum pun perlawanan bermula, para penyokong skuad negara sudah mula menjadi mangsa lemparan batu dan objek lain ketika kira-kira 300-400 orang penyokong tersebut dalam perjalanan masuk ke stadium.
Kemuncak kekecohan tersebut termasuk insiden ketika perlawanan sedang berlangsung, skuad negara terpaksa ditahan buat sementara di dalam stadium selepas perlawanan berakhit dan kemudiannya dihantar ke hotel penginapan menggunakan kereta perisai ‘ Barracuda’.
Sementara itu, wira yang tak didendang [penyokong negara di GBK] juga dilaporkan terpaksa menunggu hampir dua jam sebelum dibenarkan meninggalkan kawasan stadium.
“Kehadiran saya untuk menyampaikan langsung permohonan maaf atas nama masyarakat dan pemerintah Indonesia atas peristiwa tidak mengenakkan atas kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong (Indonesia) seperti yang kita sama-sama lihat semalam,” ujar Imam Nahrawi.
#AWANInews #AWANI745
Indonesia mohon maaf pada Malaysiahttps://t.co/SoAVxuJAho pic.twitter.com/6jaNOh7VP5— Astro AWANI (@501Awani) September 6, 2019
Imam yang turut bertemu Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Jakarta mengharapkan pertemuan dengan rakan sejawatannya itu dapat memberikan mesej penyatuan sebagai tanda persahabatan antara penyokong kedua-dua pasukan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Indonesia akan membuat permohonan maaf kepada kerajaan Malaysia sebelum perlawanan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 November nanti.
Dalam perkembangan yang sama, Syed Saddiq menyambut baik permohonan maaf daripada Imam Nahrawi dan beliau mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku yang mengganggu-gugat kehangatan aksi menarik tersebut.
“Kami ucapkan terima kasih atas pendirian tegas Pak Imam (Nahrawi) untuk pastikan bahawa akan berlaku keadilan pada masa depan.
“Bahkan beliau (Imam) juga sudah berhubung dengan pihak polis untuk memastikan tindakan tegas akan diambil,” tegas Syed Saddiq.
Kredit foto: Tribun News