Gary Hyland, 32, lelaki dari Liverpool yang merupakan penyokong Everton telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Ini selepas beliau melakukan kesalahan berbentuk rasis dan menghina agama lain.
Ketika sedang berbalas perbualan dengan rakan-rakan beliau di atas talian menerusi Twitter, Gary telah memuat naik imej Mohamed Salah pergi ke Mekah bagi memohon bantuan daripada tuhan bagi menyelamatkan nasib pasukannya.
Selepas dia dihentam beberapa pengguna twitter, Hyland memberikan respon dengan menyunting gambar seluruh pasukan Liverpool pergi meminta bantuan Allah. Niat Hyland adalah untuk mempersenda.
Ramai penyokong Liverpool dan Everton yang marah dengan tindakan Gary itu. Salah seorang daripada berbalah dengan Gary dan berkata: “Apa masalahnya dengan orang beragama Islam kawan? [Ada hati] nak hina agama orang, tetapi kamu sendiri tak tahu nak menyebutnya [muslim].”
Gary dengan egonya memuat naik satu lagi gambar yang memaparkan Mohammed Salah, memakai jaket yang dililit bom di badannya, berada di Stamford Bridge dalam keadaan mahu menekan picu untuk meletupkan dirinya di tengah stadium.
Ianya adalah satu stereotaip oleh Hyland menggambarkan bahawa Mohamed Salah adalah pengganas melakukan serangan bom, hanya kerana agamanya adalah Islam.
Seorang penyokong telah menangkap layar Tweet 6 Ogos tersebut, dan membuat laporan polis.
Ini adalah tangkap layar dengan nama pengguna Twitter GaryEFC, diserahkan kepada polis.
Dua hari selepas laporan itu dibuat, polis telah menangkap Gary di rumahnya.
Menurut laporan, Gary dengan wajah tenang menunggu polis di rumahnya dan berkata kepada polis: “Saya tahu saya akan dihukum. Itu saya [yang kamu cari].”
Polis kemudian meminta dia untuk menyerahkan telefon bimbitnya. Namun begitu, kirim menyatakan bahawa telefon bimbitnya sudah hilang dan tidak dijumpai.
Gary Hyland sent several racist posts targeting Muslims and Liverpool players using his Twitter account https://t.co/Oxn8erIZM9
— Liverpool Echo (@LivEchonews) August 30, 2019
Awal bulan ini, Gary Hyland mengaku bersalah di mahkamah, kerana bersikap perkauman dan menghina agama lain dengan niat jahat.
Gary juga dikenakan pertuduhan berkasar dan mengganggu siasatan pegawai polis ketika pihak berkuasa sedang menjalankan tugas.
Gary dihukum penjara 6 minggu. Namun hukuman itu ditangguhkan 12 bulan dahulu. Dalam tempoh itu Gary perlu melakukan kerja khidmat masyarakat selama 200 jam tanpa sebarang gaji.
Gary juga perlu hadir ke sesi rehabilitasi di Rehabilitation Activity Requirement, selama 14 hari.
Angela Conlan, dari Mersey Cheshire Crown Prosecution Service, berkata: “Beliau mengakui bersalah dan mengakui dirinya melakukan perkara bodoh. Sebarang perkataan berbaur kebencian perkauman adalah sangat sensitif kepada mereka yang menganuti sesuatu agama, yang dijadikan sasaran.”
“Mohamed Salah, dan sesiapa sahaja dalam masyarakat bertamadun hari ini, tidak sepatutnya menjadi objek kepada serangan seperti ini. Tweet itu dimuat naik sebelah pagi dan Hyland menjadikannya tempat melepaskan kemarahan berbentuk serangan rasis.”
“Ianya tak boleh diterima. Semoga ini menjadi pengajaran kepada semua, bahawa kata-kata yang kamu ucapkan boleh menyakitkan orang lain dan masyarakat ada norma yang harus ditegakkan.
Jurucakap kelab Everton yang dihubungi oleh Liverpool Echo, mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Gary Hyland itu sebagai tidak boleh diterima dan tidak mewakili penyokong Everton keseluruhannya.