Bekas pemain Negeri Sembilan melalui Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Sembilan (PBPBNS) disaran untuk membantu badan induk bola sepak negeri dalam aspek pembangunan bola sepak di negeri tersebut.
Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Alex Soosay, yang merupakan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada BERNAMA baru-baru ini.
Menurut Alex, PBPBNS dianggotai ramai bekas pemain dan jurulatih yang sememangnya memiliki pengalaman luas dan pengetahuan di dalam bola sepak.
Disebabkan itu, persatuan tersebut harus mengambil peranan untuk menyokong dan memberikan bantuan sewajarnya kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk membangun dan mengembangkan bola sepak di negeri itu.
“Kita memerlukan mereka ini untuk mencari atau mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan. Sudah tentu pengetahuan dan pengalaman mereka menjadi aset berguna kepada PBNS.
“Walaupun mereka sudah bersara daripada sukan bola sepak tetapi kita harap pengalaman mereka dapat dicurahkan untuk pembangunan dan kemajuan bola sepak negeri ini,” ujar Alex ketika merasmikan mesyuarat agung PBPBNS kali pertama di Wisma PBNS semalam.
Alex Soosay sendiri bukan watak asing di dalam bola sepak Negeri Sembilan kerana pernah menyarung jersi dan pernah bergelar jurulatih pasukan itu
Alex adalah bekas pemain Negeri Sembilan sekitar tahun 1979 sehingga 1985 sebelum menceburkan diri ke dalam bidang kejurulatihan pada 1987.
Merupakan bekas Setiausaha Eksekutif PBNS sebelum menjawat jawatan Setiausaha Agung Asia (AFC) pada 1995, Alex pada hari ini adalah penasihat kanan Persatuan Bolasepak United Arab Emirates (UAE).
Pada pemilihan anggota jawatankuasa PBPBNS sesi 2019/2021, Hamdan Wahab, Mohd Ruslan Yaacob dan Hisham Abdul Ghani, masing-masing dipilih sebulat suara sebagai Presiden, Setiausaha dan Bendahari persatuan itu.
Turut hadir ke majlis tersebut adalah Setiausaha Agung PNNS, Satwant Singh.