Pengendali Johor Darul Ta’zim, Benjamin Mora memberikan peringatan buat anak buahnya supaya berwaspada dengan cabaran sukar yang bakal dijelmakan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).
Kedua-dua pasukan bakal bertemu malam esok di Stadium Majlis Perbandaran Manjung bagi aksi ketiga saingan kumpulan B Piala Malaysia 2019.
Menurut sumber Harian Metro, jurulatih berasal dari Mexico itu melihat skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim tersebut mampu menjerat anak buahnya sekiranya pemain JDT memandang rendah keupayaan pemain tuan rumah.
“Kenapa saya kata ia perlawanan sukar. Kerana pada aksi Liga Super, kami terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dan saya lihat PKNP FC memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan mampu beri tentangan sengit kepada JDT.
“Mereka kerap menggunakan corak permainan fizikal dan gemar beraksi secara serangan balas pantas.”
”Kami harus berwaspada kerana jika kita buat kesilapan maka mudah untuk mereka menghukum.
“Bukan sahaja PKNP dan saya nampak apabila aksi memasuki perlawanan ketiga, rentak permainan tampak berbeza dan kami tidak boleh selesa dengan dua kemenangan yang diraih sebaliknya harus menggandakan usaha untuk mencatat kemenangan,” ujar Mora lagi.
JDT kini mendahului saingan kumpulan B dengan enam mata selepas mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan terdahulu ketika menentang UiTM FC dan PJ City FC.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers