Selepas kecewa pada aksi sulung saingan Kumpulan C Piala Malaysia 2019 ketika bertemu Perak tempoh hari, skuad Sabah kini memasang impian besar untuk meraih tiga mata penuh pada pertemuan bertemu Pulau Pinang, malam ini.
Kemenangan amat ditagih skuad bimbingan Jelius Ating itu bagi mengintai peluang yang lebih cerah buat pasukannya untuk mara ke peringkat suku akhir.
Menurut sumber Berita Harian, Jelius menegaskan kepentingan buat anak buahnya untuk tidak melepaskan sebarang mata yang mampu untuk menggagalkan usaha mereka.
“Kekalahan itu (bertemu Perak) memang mengecewakan tetapi kita perlu sedar kekalahan itu bukan penamat kita dalam saingan Piala Malaysia ini tetapi ia baru permulaan cuma keputusannya kurang baik dan menjejaskan sedikit rentak kami.”
“Bagaimanapun kami akan berusaha untuk memenangi perlawanan esok, bukan senang untuk bangkit daripada kekalahan tetapi ia bukan mustahil juga, kini terpulang kepada pemain bagaimana mereka menanganinya.”
“Saingan Piala Malaysia bukanlah mudah kerana kedudukan hanya ditentukan dalam enam perlawanan saja. Penting untuk tidak terus keciciran mata dan sebab itu kita perlu memenangi aksi bertemu Pulau Pinang esok.”
“Cuma saya mungkin akan pertimbangkan untuk menyenaraikan Maxsius (Musa) dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Jenius (Karib), kita akan lihat nanti macam mana.”
Kedua-dua pasukan sudah bertemu sebanyak dua kali dalam saingan Liga Premier musim ini yang menyaksikan Sabah menumpaskan Pulau Pinang 2-0 di Likas dan kemudiannya terikat tanpa jaringan pada aksi kedua pada Mei lalu.
Kredit foto: FA Penang