Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahukan anak buahnya tidak memikirkan dan tidak terbawa-bawa dengan keinginan mahu membalas dendam atas kekalahan kepada PJ City FC dalam aksi kedua terakhir Liga Super 2019 yang lalu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Dato’ Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, Harimau Selatan tumpas 0-1 hasil jaringan tunggal Washington Brandao pada minit ke-64. Ia juga kekalahan pertama dan satu-satunya kekalahan pada musim ini.
Baginya, aksi dan rentak pasukan akan terjejas sekiranya pemain terlalu mahu membalas dendam dan mahu mereka fokus dengan segala perancangan yang telah ditetapkan oleh jurulatih. Tiada istilah membalas dendam dalam kamus bola sepaknya.
“Saya tidak percaya dalam permainan bola sepak ada istilah membalas dendam kerana apa yang kami mahukan adalah mengekalkan momentum kemenangan pasukan.
“Walaupun kami tewas dalam perlawanan liga tapi ia sudah dilupakan dan hanya mahu beri persembahan terbaik,” ujarnya yang dipetik berkata kepada portal Berita Harian.
“Jika kita memikirkan untuk membalas dendam, ianya pasti menjejaskan rentak permainan kerana pemain akan terlalu fokus untuk menebus kekalahan lalu. Sebaliknya mereka harus beraksi mengikut perancangan taktikal dan tidak bermain secara emosi.
“Yang penting, kami perlu berada di tahap terbaik dari aspek kecergasan dan kekuatan mental kerana tanpa dua elemen itu agak sukar untuk turun beraksi dengan konsisten dan boleh menjejaskan rentak permainan,” jelas Benjamin Mora lagi.
Seakan-akan jodoh ‘kurang baik’ buat JDT, mereka diundi untuk edisi kedua berturut-turut bersama PJ City FC yang mana telah dua kali menumpaskan mereka iaitu ketika dalam saingan Piala Malaysia 2018 dan perlawanan Liga Super musim ini.
Pada edisi lalu, PJ City FC yang menggunakan nama MISC MIFA FC berjaya mengejutkan Harimau Selatan dengan keputusan 2-1.
Bercakap mengenai situasi pasukan, Benjamin Mora menjelaskan hanya Gonzalo Cabrera dan Mauricio Santos sedang mengalami kecederaan kecil dan berharap mereka akan cergas sepenuhnya menjelang aksi menentang PJ City pada malam ini.
Kredit Featured Image: JST