PFAM: Bala RM6.4 Juta Dan Penindasan Dalam Bola Sepak Malaysia

Ketua Pengarah Eksekutif PFAM, Izham Ismail pada hari ini meluahkan kekecewaan beliau terhadap sikap tidak bertanggungjawab beberapa pengurusan di Malaysia yang menyebabkan ramai pemain tertindas kerana tunggakan gaji.
Dipetik daripada laman Facebook PFAM, Izham berkata:

Bala RM6.4 juta

“PFAM ingin menegaskan betapa sehingga kini, pasukan-pasukan ini masih mempunyai tunggakan gaji kepada para pemain.

Dan dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini, masih tiada jaminan bahawa hutang tunggakan ini akan dijelaskan dalam masa yang terdekat.

Dapatan yang dibuat ini adalah berdasarkan aduan rasmi yang telah diterima oleh PFAM, dan kebanyakkannya sudah pun mendapat keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM, dan masih ada lagi yang sedang menunggu tarikh perdengaran kes.

Jumlah ini tidak termasuk jumlah tunggakan potongan LHDN, caruman KWSP dan caruman PERKESO. Jumlah tunggakan secara keseluruhan dijangka akan bertambah memandangkan ketika ini masih ada lagi aduan yang sedang diproses oleh PFAM untuk difailkan ke Jawatankuasa Status FAM.

Terus berdrama

PFAM amat kecewa, memandangkan sebelum ini pasukan menggunakan alasan sedang menunggu wang geran hak penyiaran daripada MFL untuk menyelesaikan hutang.

Namun begitu, setelah MFL membuat pengumuman bahawa wang sudah diberikan, pasukan-pasukan ini masih tidak membuat bayaran seperti yang dijanjikan.

Pasukan-pasukan seperti Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung perkara ini.

Malah, ada juga pasukan yang sudah membuat perjanjian untuk bayaran secara berperingkat kepada pemain, namun masih melanggar perjanjian tersebut seperti pasukan ATM, PDRM dan Felda FC.

Kesan kepada para pemain

Selain itu, nasib para pemain daripada pasukan-pasukan yang sudah ditutup terus terpinggir dan tidak terbela.

Pemain-pemain Perlis, TCFC, Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United terus berada dalam keadaan yang tidak menentu, kerana kelompongan struktur sedia ada yang tidak memberi sebarang jaminan terhadap nasib para pemain ini.

Minta kerajaan campur tangan

PFAM menyeru perhatian Kerajaan Negeri – jika ini langkah terakhir- untuk tampil memberikan bantuan berhubung perkara ini.

Lihatlah ia sebagai isu rakyat, dan bukan sekadar masalah bola sepak. Sesungguhnya, hal ini amat memerlukan pemimpin yang berjiwa besar untuk turun dan membantu para pemain yang selama ini telah bertungkus lumus berjuang atas nama anak negeri.

Hakikat yang harus ditelan

Hakikatnya juga, nilai tunggakan RM6.4 juta ini masih belum boleh menggambarkan angka sebenar hutang dalam industri bola sepak negara memandangkan ini hanyalah merupakan tunggakan yang dilaporkan oleh pemain.

Dan PFAM percaya angka ini sebenarnya lebih besar jika dihitung bersama tunggakan yang turut dialami oleh barisan staf kejurulatihan dan juga pemain-pemain import yang menggunakan saluran sendiri.

Begitu juga maklumat-maklumat tidak rasmi yang diterima oleh PFAM, tetapi para pemain masih berdiam kerana ingin memberi masa kepada pasukan.

Bagaimanapun, angka RM6.4 juta ini harus diakui, adalah simbol sebuah kegagalan urus tadbir yang profesional dalam kalangan pasukan di Malaysia.

RM6.4 juta ini, adalah bukti betapa industri bola sepak kita sedang tenat, atau mungkin ia tidak lagi mapan untuk bergerak sebagai sebuah industri.

Angka RM6.4 juta, kita sedang menghantar mesej moral yang sangat negatif buat anak-anak kecil yang berimpian untuk memasuki industri ini.

PFAM berasa teramat kecewa dengan pihak-pihak yang lepas tangan serta pihak menuding jari bermain “blame game”, lantas menzalimi para pemain yang bergantung sepenuhnya terhadap industri ini.

Malah percayalah, kita tidak akan mampu bergerak ke arah F30 mahupun NEX50 sekiranya kita masih terperangkap dalam kerangka RM6.4 juta ini.

Buat pasukan-pasukan yang berhutang ini, atau siapa pun pemulanya – bertanggungjawablah!

Jangan ligat berhelah untuk melengahkan atau mengelak membuat bayaran. Bayangkanlah kegetiran dan kepayahan yang dihadapi oleh para pemain untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Pandanglah mereka sebagai manusia, bukannya sebagai hamba. Jika itu pun bukan lagi menjadi asbab untuk pasukan-pasukan ini melangsaikan hutang, ternyata bolasepak Malaysia bukan sahaja sudah hilang nilai profesionalnya, tetapi juga sudah kehilangan jiwa kemanusiaannya.

“Football Tyranny is real, and it is not building the game”.

(Penindasan bola sepak Itu nyata, dan ianya tidak membina permainan)

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN