Pandangan: Prestasi Skuad Akar Umbi Ketika Ini, Kredit Milik Siapa?

Beberapa hari lepas FAM telah mengeluarkan kenyataan bahawa Kejayaan pasukan Malaysia bawah 15 tahun meraih kemenangan tiga kali berturut-turut di pentas Kejuaraan AFF B-15 2019 di Chonburi Thailand adalah hasil daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan oleh mereka pada bulan lepas.

Sekalipun dalam kenyataan terbaru FAM mereka telah memohon maaf, tindakan tersebut ternyata mendapat reaksi pelbagai pihak sama ada peminat bola sepak tanah air, pengulas sukan dan juga jurulatih di peringkat akar umbi.

Seorang jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Ekhsan Bukharee Badarul Hisham dalam temuramah bersama wartawan SemuanyaBOLA berpendapat, kredit sebenar sepatutnya diberikan kepada semua jurulatih yang berada di Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Sukan Malaysia, Kelab-kelab bola sepak dan cikgu-cikgu di sekolah yang mendidik anak-anak itu terlebih dahulu kerana mereka datang dari ekosistem tersebut.

Menurut beliau, jurulatih di AMD seperti beliau sendiri sebenarnya ‘tidak layak’ menuntut apa-apa kredit dan jauh sekali badan induk bola sepak negara (FAM) yang bertapak di Kelana Jaya itu. Kata beliau lagi, jangan sesekali lupa kepada ibu bapa yang memupuk minat anak-anak ini bermain bola sejak mereka kecil.

“Pembangunan di akar umbi memerlukan masa untuk kita tuai hasil pada masa yang sesuai. Bukan sekadar misi ke Piala Dunia sahaja, malah lebih besar dari itu adalah ke mana hala tuju mereka selepas itu. Jika kita berjaya sekalipun, adakah kita boleh menjadi negara yang konsisten untuk berada di pentas tertinggi tersebut? Atau sebenarnya kita layak disebabkan potensi dan prestasi pemain bagi generasi tersebut? Persoalan ini adalah subjektif.”

“Terlalu awal untuk menilai anak-anak kita ini selepas menang dengan Australia. Pentas sebenar adalah di kejuaraan AFC akan datang. Ramai yang mengatakan projek NFDP gagal dan banyak menghabiskan duit kerajaan selepas kita gagal layak ke Pentas Piala Dunia Remaja pada tahun lepas. Misal kata tahun ini gagal juga, adakah sistem dan falsafah NFDP benar-benar gagal?”

“Apapun, kita tetap dan perlu kerja keras di setiap peringkat. Jangan mudah melatah untuk menuntut sebarang kredit. Sabar dan terus kerja keras demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih baik. Jika kita terus dibayangi dengan persepsi atau sentimen ‘menuntut kredit’ ini, akhirnya kita akan menemui jalan buntu dan gagal akibat pertelingkahan yang bakal dan telah berlaku. Ya, kita akan gagal membina mentaliti baharu untuk bola sepak Malaysia.”

“Semua pihak perlu berlapang dada untuk menggunakan DNA FAM dengan hati yang terbuka demi bola sepak Negara. Ruang dan peluang perlu diberikan dengan kerjasama yang baik oleh semua pemegang taruh di dalam NFDP iaitu KBS, MSN, ISN, FAM & KPM.”

Seorang lagi jurulatih di Pusat Latihan Daerah (PLD) ketika dihubungi menyatakan, semua pihak bermula dari FAM, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bola Sepak Negeri serta semua pihak di pelbagai peringkat yang menjayakan Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dijalankan sejak tahun 2014 mempunyai sumbangan di atas kejayaan skuad Malaysia B-15 tersebut.

Menurut beliau, tindakan FAM ‘menuntut kredit’ dengan menonjolkan projek yang baru sahaja dilancarkan pada bulan lepas adalah langkah yang tidak bijak.

Umum mengetahui ‘krisis’ yang timbul apabila NFDP diberi kuasa penuh untuk menjalankan projek tersebut tanpa campur tangan pihak ke-3 sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa pihak termasuk pihak FAM.

“Sebagai jurulatih yang melihat realiti di peringkat akar umbi, saya melihat beberapa kekangan besar untuk melihat anak-anak kita bermain dengan DNA atau falsafah bola sepak moden. Pertama tentang fasiliti. Kerajaan masih gagal untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu padang yang berkualiti di setiap daerah. Agak sukar untuk melatih dan menerapkan DNA bola sepak moden dengan keadaan padang sedia ada yang menyedihkan.”

“Kedua, mengenai mentaliti jurulatih. Tidak semua jurulatih di peringkat akar umbi mahu bermain dengan permainan bola sepak moden. Buktinya boleh dilihat semasa kejohanan bola sepak MSSD, MSSN dan MSSM. Malahan jurulatih pasukan negeri di peringkat belia dan Piala Presiden sekalipun belum mahu berubah. Sebab itulah kita boleh lihat corak permainan dalam Liga Malaysia masih di tahap sama.”

“Jurulatih dalam liga utama juga lebih fokus untuk mencapai kemenangan dengan meletakkan dua orang pemain import di barisan hadapan untuk sekadar menerima bola dan menjaringkan gol tanpa perlu memikirkan DNA atau falsafah bola sepak untuk corak permainan yang cantik.”

“Penyerang tempatan yang berbakat sekadar memanaskan baku simpanan atau ditukar ke posisi lain dan akhirnya pasukan Malaysia terus ketandusan penyerang berkualiti di hadapan gol.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN