Selain daripada kategori untuk pemain, The Best FIFA Football Award turut memberikan pengiktirafan kepada pengurus atau jurulatih yang mengendalikan kelab dan pasukan kebangsaaan.
Untuk edisi 2019 ini, lima jurulatih yang mengendalikan pasukan kebangsaan, dan lima lagi jurulatih peringkat kelab telah disenaraikan sebagai calon untuk anugerah berprestij tersebut.
The Best FIFA (Jurulatih Lelaki)
Djamel Belmadi (Algeria)
Bekas pemain tengah kelahiran Perancis dan turut pernah beraksi bersama Paris Saint-Germain, Marseille dan Manchester City ini mula bergelar pengendali Algeria pada 2 Ogos 2018.
Pad musim panas lalu, Belmadi mencipta sejarah membawa Algeria muncul juara Piala Negara-Negara Africa hanya buat kali kedua dalam sejarah bola sepak negara tersebut. Lebih menarik, Algeria hanya dibolosi dua gol sepanjang kejohanan, dan sejak dikendalikan oleh Belmad, Algeria hanya tewas sekali sahaja setakat ini.
Didier Deschamps (Perancis)
Didier Deschamps sememangnya amat bertuah kerana menjadi salah seorang individu yang pernah menjulang gelaran Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih. Kecemerlangan Deschamps diteruskan lagi sepanjang setahun yang lalu selepas Piala Dunia.
Berada di tangga teratas kumpulan kelayakkan Euro 2020, Perancis turut merekodkan kemenangan bergaya menentang Jerman dan Belanda. Perancis kini berada di kedudukan ke-2 ranking dunia FIFA.
Marcelo Gallardo (River Plate)
Nama Marcelo Gallardo mungin tidak sepopular jurulatih lain kerana kurangnya liputan bola sepak kelab-kelab Amerika Latin di negara kita. Musim lalu, beliau membawa kelab Argentina tersebut menjuarai Copa Libertadores 2018.
Turut berjaya membawa River Plate ke separuh akhir Copa Argentina dan tempat ke-3 Piala Kelab Dunia 2018, Gallardo turut membawa River Plate mengakhiri saingan domestik di tangga ke-4 liga domestik Argentina.
Ricardo Gareca (Peru)
Seperti Gallardo, Gareca berasal dari Argentina. Namun sumbangan beliau lebih diingati kerana sumbangan beliau dalam bola sepak Peru.
Tahun ini, Gareca membimbing Peru muncul naib juara Copa America 2019. Ia adalah pencapaian terbaik negara tersebut sejak 1975. Kemenangan ke atas Bolivia dan Chile dalam kejohanan tersebut adalah antara kesan taktikal berkesan dari jurulatih ini.
Pep Guardiola (Manchester City)
Pep Guardiola adalah nama yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak. Tetapi pencapaian beliau pada tahun ini dianggap unik kerana kejayaan meraih treble domestik bersama Manchester City.
Untuk rekod, belum pernah ada jurulatih atau pasukan meraih kejuaraan treble domestik di England. Di saingan eropah pula, Guardiola membawa City sehingga ke suku akhir UEFA Champions League.
Jurgen Klopp (Liverpool)
Tidak dapat dinafikan lagi nama Jurgen Klopp sudah boleh diangkat sebagai legenda sebaris Bill Shankly atau Bob Paisley. Bukan sahaja Klopp dianggap sebagai pengendali yang berjaya, tetapi beliau juga adalah pengurus yang disayangi penyokong.
Musim lalu dianggap sebagai musim terbaik Liverpool sepanjang tempoh tiga dekad. Muncul naib juara liga – hanya dibezakan oleh 1 mata dari juara Manchester City – kejayaan menewaskan Barcelona di separuh akhir UEFA Champions League dan muncul juara pasti akan menjadi buah mulut zaman berzaman.
Mauricio Pochettino (Tottenham Hotspur)
Mauricio Pochettino menjadikan senarai calon anugerah ini mempunyai tiga calon dari Argentina. Musim lalu pasti akan dikenang sebagai musim terbaik Pochettini sejak menyertai Tottenham Hotspur empat tahun yang lalu.
Mencipta sejarah membawa Tottenham mara ke perlawanan akhir UEFA Champions League, Tottenham juga mengakhiri saingan di tangga ke-4 liga musim lalu. Di saingan Piala Liga, saingan Pochettino dan Tottenham terkandas di separuh akhir. Secara keseluruhan, ia masih pencapaian luar biasa buat kelab yang tidak berbelanja satu sen pada musim lalu.
Fernando Santos (Portugal)
Pencapaian Fernando Santos bersama Portugal juga harus tidak dipandang ringan. Untuk rekod, Santos dan Portugal tidak mengalami sebarang kekalahan dari 10 perlawanan yang dimainkan dalam tempoh setahun (Jun 2018-Julai 2019).
Musim panas yang lalu, Santos berjaya membimbing Portugal muncul juara UEFA Nations League di halaman sendiri. Antara pasukan yang ditewaskan sebelum bergelar jaura ialah Switzerland dan Belanda di perlawanan akhir.
Erik Ten Hag (Ajax)
Tidak menghairankan untuk melihat Ajax segera mengikat kontrak Erik Ten Hag selepas tamat saingan pada musim lalu. Berjaya mengendalikan Ajax mara sehingga ke separuh akhir UEFA Champions League – corak permainan menarik yang ditampilkan Ten Hag pantas menjadi tumpuan kelab-kelab utama eropah yang lain.
Musim lalu, Ten Hag berjaya membawa Ajax muncul juara liga Belanda, dan juga memenangi satu trofi domestik.
Tite (Brazil)
Sejak mengambil alih pasukan kebangsaan Brazil pada 2016, Tite telah berjaya mentransformasi sebuah pasukan yang kaya dengan bakat menyerang kepada pasukan yang lebih stabil di semua posisi.
Ketiadaan Neymar tidak menghalang perancangan Tite, menjadi bukti kepad kebijaksanaan beliau mengatur strategi menggunakan pool pemain yang ada. Segar dari kejuaraan Copa America di halaman sendiri, Brazil hanya dibolosi sekali sepanjang kejohanan, dan menjaringkan 15 gol untuk dinobatkan selaku juara Amerika Selatan.
The Best FIFA (Jurulatih Wanita)
Untuk jurlatih pasukan wanita, 10 nama turut dicalonkan. Menariknya, tiga daripada mereka adalah wanita, termasuk Jill Eliis yang membawa Amerika Syarikat muncul juara Piala Dunia Wanita pada bulan lalu.
- Milena Bertolini (ITA) – Italy national team
- Jill Ellis (USA) – USA national team
- Peter Gerhardsson (SWE) – Sweden national team
- Futoshi Ikeda (JPN) – Japan U-20 national team
- Antonia Is (ESP) – Spain U-17 national team
- Joe Montemurro (AUS) – Arsenal
- Phil Neville (ENG) – England national team
- Reynald Pedros (FRA) – Olympique Lyonnais
- Paul Riley (ENG) – North Carolina Courage
- Sarina Wiegman (NED) – Netherlands national team
Siapakah yang layak?
FIFA akan mengambil kira setiap undian daripada empat pihak berkepentingan iaitu dari kalangan wartawan bola sepak, jurulatih pasukan kebangsaan ahli gabungan serta kapten, dan juga undian oleh penyokong yang mengambil bahagian untuk melakukan undian melalui laman sesawang FIFA.com.
Kiraan 25% daripada markah dari setiap bahagian akan diambil untuk menentukan pemenang. Anda hanya perlu memilih tiga jurulatih terbaik untuk melakukan undian.