Previu Kumpulan C Piala Malaysia: Sabah & Pulau Pinang Idam Kejutkan ‘Abang Besar’ Liga Super

Kumpulan C

Saingan kumpulan C Piala Malaysia 2019 juga tidak kurang hebatnya apabila juara bertahan, Perak diundi bersama-sama Pahang serta Sabah dan Pulau Pinang.

Menarik untuk disaksikan persaingan dalam kumpulan C ini kerana dua pasukan dari saingan Liga Premier itu juga bukanlah pasukan calang-calang pasukan.

Sabah hadir dengan reputasi selaku juara Liga Premier 2019 serta semi finalis musim lalu manakala Pulau Pinang berjaya bangkit dari ‘kelemasan’ pada awal musim dan hampir mengiringi skuad Tambadau itu ke Liga Super 2020, namun akhirnya hampa akibat hukuman dikenakan FIFA.

Jelas cabaran yang bakal dijelmakan kedua-dua pasukan tersebut tidak seharusnya dipandang enteng oleh ‘abang besar’, Perak dan Pahang.

Pahang

Kredit foto: Pahang FA

Pahang pastinya mahu menjadikan kempen Piala Malaysia ini sebagai medan menebus kehampaan selepas gagal dalam usaha menjulang trofi Liga Super dan Piala FA.

Musim lalu, perjalanan juara empat kali saingan tertua di Asia itu terhenti di peringkat suku akhir selepas dikecewakan Johor Darul Ta’zim.

Selepas kecundang 0-3 di Ipoh pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Pahang bingkas untuk bangkit sekaligus mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri pada baki saingan Liga Super.

Keadaan yang memberikan gambaran jelas bahawa skuad Tok Gajah sudah cukup bersedia bagi mengubati dua kekecewaan lalu.

Bagaimana mereka layak: Kedudukan Kedua MSL 2019
Formasi pilihan: 4-4-2
Pemain bintang: Mohamadou Sumareh
Pemain tumpuan: Lazarus Kaimbi
Ketua Jurulatih: Dollah Salleh
Ramalan Semuanya BOLA: Separuh Akhir

Perak

Kredit foto: Perak TBG

Kejayaan menjuarai saingan Piala Malaysia 2018 dan berjaya melayakkan diri ke final Shopee Piala FA 2019 memperlihatkan kualiti tinggi pasukan Perak bagi menghadapi saingan piala sejak dua musim ini.

Sama seperti Pahang, barisan pemain berpengalaman yang dimiliki Perak juga menjadi tunjang kepada survival mereka untuk mara lebih jauh pada edisi ke-93 ini.

Kekalahan ditangan Kedah pada 27 Julai lalu mampu untuk menjadi tonik berguna buat Mehmed Durakovic dan anak buahnya dalam menebus kehampaan dihadapan puluhan ribu penyokong mereka tempoh hari.

Dengan corak permainan pasukan yang boleh dikatakan pada tahap yang baik, Mehmed perlu memberikan tumpuan khusus terhadap aspek penyudah.

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-5 MSL 2019
Formasi pilihan: 4-2-3-1
Pemain bintang: Raianderson Da Costa Morais (Careca)
Pemain tumpuan: J. Partiban & Leandro Dos Santos
Ketua Jurulatih: Mehmed Durakovic
Ramalan Semuanya BOLA: Calon Finalis

Sabah

Kredit foto: Sabah FA

Sabah yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Liga Premier Malaysia 2019 ketika ini berada dalam mood terbaik untuk merintis kejutan dalam kancah Piala Malaysia pula.

Bagaimanapun menjadi lumrah pasukan yang layak hasil kuota dari Liga Premier, laluan sukar bakal ditempuhi skuad bimbingan Jelius Ating sambil dibantu Burhan Ajui itu.

Kekentalan barisan pertahanan yang menjadi antara faktor kembalinya semula Sabah ke Liga Super itu bakal diuji apabila skuad Tambadau bakal menghadapi ancaman pasukan lebih ‘senior’ seperti Pahang dan Perak.

Inilah masa yang sesuai buat Sabah terutamanya bagi peledak mereka, Rodoljub Paunovic untuk membuktikan sesuatu dan menghadirkan satu lagi kegembiraan buat penyokong mereka.

Bagaimana mereka layak: Juara Liga Premier Malaysia 2019
Formasi pilihan: 4-4-2
Pemain bintang: Rodoljub Paunovic
Pemain tumpuan: Azzizan Nordin
Ketua Jurulatih: Jelius Ating
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan

Pulau Pinang

Kredit foto: FA Penang

Perubahan ketara dapat disaksikan sebaik sahaja Pulau Pinang mendapatkan khidmat Manzoor Azwira Abdul Wahid bagi menggalas tugas ketua jurulatih pada 18 April 2019.

Tewas pada dua aksi awal bertemu JDT II dan Kelantan, Manzoor dan Pulau Pinang tidak memandang ke belakang lagi untuk terus membawa skuad Pulau Mutiara mendaki satu persatu tangga liga tanpa sebarang kekalahan.

Langkah membawa masuk pemain-pemain seperti Sergio Ezequiel Aguero, Amirul Syazani Roslan, Casagrande Anselmo, Zamir Selamat, Wan Mohd Syukri Wan Ahmad dan A. Yoges menjadi antara titik tolak kepada peningkatan prestasi tersebut.

Walaupun langit cerah tidak menyinari kem Pulau Pinang hingga ke akhirnya, mereka pasti tidak akan mengambil mudah tugasan dalam Piala Malaysia ini dan mengidamkan kejutan terhadap pasukan yang lebih menjadi pilihan.

Bagaimana mereka layak: Kedudukan ke-7 MPL 2019
Formasi pilihan: 4-2-3-1
Pemain bintang: Casagrande Anselmo Arruda da Silva
Pemain tumpuan: Sergio Aguero & Al Hafiz Harun
Ketua Jurulatih: Manzoor Azwira Abdul Wahid
Ramalan Semuanya BOLA: Peringkat kumpulan

Rumusan

Tanpa mahu menidakkan keupayaan Sabah dan Pulau Pinang, penilaian awal memperlihatkan Pahang dan Perak lebih layak dilabel sebagai pasukan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Namun, dua pasukan ‘regular’ dalam saingan Liga Super itu tidak boleh terlalu selesa kerana Sabah dan Pulau Pinang juga kini berada dalam mood terbaik untuk mencipta kejutan.

Apa yang pasti, perebutan dua slot ke peringkat seterusnya dalam kumpulan C bakal menjanjikan persaingan menarik buat keempat-empat pasukan yang terlibat.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN