Jaringan menarik Harry Kane pada minit akhir permainan ketika bertemu Juventus di Singapura serta aksi yang dipamerkan pemain yang baru sahaja direkrut, Tanguy Ndombele jelas mencuri tumpuan pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino.
Kedua-dua pemain tersebut masuk selaku pemain gantian di separuh masa kedua dengan Kane menggantikan Troy Parrott pada minit ke-46 manakala Ndombele menikmati aksi sulung bersama Spurs pada minit ke-63.
Ndombele yang merupakan pembelian termahal buat Tottenham dengan nilai £55 juta itu pantas memberikan impak kehadirannya apabila hanya memerlukan dua minit untuk mencipta bantuan jaringan dihasilkan Lucas Moura.
Manakala bagi Kane, jaringan jarak jauhnya pasti menjadi antara jaringan terhebat pernah dihasilkan penyerang utama skuad kebangsaan England tersebut sekaligus menewaskan Juventus 3-2.
”Saya merasakan ia adalah jaringan yang cukup hebat. Luar biasa buat Harry (Kane).”
”Kami gembira dengan prestasi dipamerkan pemain tetapi kami lebih gembira para pemain menamatkan permainan dengan keadaan yang baik untuk meneruskan latihan.”
”(Tanguy) Ndombele merupakan seorang pemain yang mempunyai kapasiti untuk melakukan dengan baik tetapi dia baru sahaja bersama kami selama seminggu.”
”Bagaimanapun kami tidak mahu terlalu mengharapkan kepadanya kerana kami tahu bakat dan kelemahannya.”
”Langkah demi langkah – Kami tidak mahu meletakkan tekanan yang terlalu tinggi terhadapnya.”
Tottenham Hotspur kini berada di Shanghai bagi menghadapi aksi kedua International Champions Cup 2019 menentang Manchester United di Hongkou Stadium pada 25 Julai ini.
Kredit foto: International Champions Cup