Aksi menarik dan menghiburkan pada perlawanan kedua International Champions Cup (ICC) Singapore 2019 menyebelahi Tottenham Hotspur selepas berjaya menundukkan Juventus 3-2, sebentar tadi.
Bukan sahaja perlawanan menarik yang disajikan kedua-dua pasukan, malah jaringan yang terhasil juga cukup mengagumkan.
Penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Singapura jelas amat teruja apabila bintang Juventus, Cristiano Ronaldo turut membarisi kesebelasan utama pasukan.
Kelibatnya sentiasa menarik perhatian para penyokong setiap kali pemain antarabangsa Portugal itu mengawal bola, pasti akan ada gerakan menarik yang berjaya dijelmakannya.
Tottenham Hotspur sebaliknya lebih banyak mencipta peluang ke gawang Juventus pada babak pertama yang dikawal Gianluigi Buffon terutamanya menerusi Son Heung-Min.
Son hampir membuka tirai jaringan seawal minit keempat tetapi rembatannya dalam kawasan penalti sekadar singgah di tiang gol.
Erik Lamela berjaya memisahkan kedua-dua pasukan pada minit ke-31 hasil percubaan susulan berpunca daripada rembatan Troy Parrott yang ditepis Buffon.
Lamela yang berada dalam kawasan penalti nyata lebih pantas berbanding pertahanan Juventus untuk menolak masuk bagi gol pendahuluan perlawanan.
Aksi separuh masa kedua lebih menghiburkan para peminat apabila empat jaringan yang cukup berkualiti terhasil.
Ia bermula dengan jaringan penyamaan pada minit ke-56 yang dihasilkan Gonzalo Higuain.
Penyerang kelahiran Argentina itu meledakkan rembatan padu hasil gerakan menarik yang dimulakan Ronaldo sekaligus menewaskan penjaga gol, Paulo Gazzaniga.
Permainan semakin menarik hanya selepas dua minit jaringan tersebut terhasil apabila tandukan Harry Kane terkena tiang gol.
Detik yang ditunggu-tunggu 50,443 penyokong yang hadir akhirnya menjelma pada minit ke-60 setelah Cristiano Ronaldo menjaringkan gol buat Juventus.
Kelebihan Juventus itu hanya mampu bertahan selama lima minit setelah pemain gantian, Lucas Moura menolak masuk bola hantaran Tanguy Ndombele untuk kembali menyamakan kedudukan.
Ketika permainan semakin menghampiri penghujung, Kane membuatkan para penyokong tergamam berikutan rembatan dari tengah padang dilepaskannya memerangkap Wojciech Szczesny yang sedikit keluar dari posisinya.
Jaringan menarik tersebut menutup perlawanan untuk kemenangan 3-2 memihak Tottenham Hotspur.