Manchester United berjaya menewaskan Inter Milan 1-0 pada aksi International Champions Cup (ICC) Singapore 2019 yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura.
Kemenangan itu jelas menggembirakan ‘lautan merah’ yang memenuhi segenap ruang stadium yang terletak di Kallang itu.
Manchester United yang membariskan pemain utama termasuk dua rekrut terbaharu, Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James lebih menguasai permainan di babak pertama.
Kedua-dua pemain di posisi sebelah kanan itu memainkan peranan dengan cukup baik terutamanya Wan-Bissaka yang kental menangkis asakan dicipta pemain Inter Milan di bahagian sayap.
Luke Shaw memberikan amaran awal buat Inter Milan pada minit ke-15 hasil rembatan dari luar kawasan penalti. Cubaan tersebut bagaimanapun sedikit tersasar.
Tujuh minit kemudian, Manchester United datang lagi dengan satu lagi percubaan jarak jauh tetapi Samir Handanovic tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas percubaan diledakkan Anthony Martial.
United terlepas peluang terbaik pada minit ke-31 selepas hantaran lintang cantik daripada Luke Shaw walaupun gagal dihalang Handanovic tetapi Rashford sekadar menendang angin.
Berselang sepuluh minit kemudian, Handanovic menafikan percubaan Martial dari jarak dekat setelah pemain kelahiran Perancis itu menerima bola hasil kombinasi menarik bersama Jesse Lingard.
Pemain Inter Milan walaupun sesekali cuba untuk melancarkan serangan kelihatan sedikit bergelut bagi menyaingi corak permainan yang lebih baik ditampilkan United.
Aksi bertambah menarik pada babak kedua apabila anak buah Ole Gunnar Solskjaer terus menjelmakan beberapa serangan berbahaya.
Bermula dengan rembatan Lingard pada minit ke-49 yang dihalang Danilo D’Ambrosio ketia Handanovic sudah pun tertewas, Manchester United terus menekan Inter Milan.
Dua minit kemudian, tandukan Nemanja Matic pula terkena tiang gol dan percubaan susulan dilakukan Pogba dari luar kawasan penalti berjaya dihalang Handanovic.
Hanya selepas seminit diserang, Inter Milan pula mencemaskan gawang United dengan tandukan D’Ambrosio diselamatkan Wan-Bissaka di atas garisan gol.
Hantaran lintang menarik dari Antonio Candreva yang mencari Ivan Perisic juga gagal disempurnakan dengan baik oleh pemain antarabangsa Croatia tersebut.
Jaringan yang ditunggu-tunggu peminat Manchester United akhirnya menjelma pada minit ke-76.
Berpunca daripada sepakan percuma diambil Ashley Young berjaya ditepis keluar Samir Handanovic, pemain muda, Mason Greenwood meledakkan rembatan kaki kiri dalam kawasan penalti bagi memecah kebuntuan.
Pemain berusia 17 tahun itu hampir menambah jaringan kedua apabila kuisannya selepas menerima hantaran Tahith Chong terkena palang gol pada minit ke-79.
Manchester United terus memberikan asakan tetapi jaringan tunggal Greenwood itu kekal hingga tamat permainan.
Kredit foto: Aremilworks