Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meraih kemenangan pada malam keraian mereka menjulang trofi Liga Super di hadapan lebih 13,000 penyokong mereka apabila terikat 3-3 menentang Terengganu FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, sebentar tadi.
Terengganu mempamerkan satu semangat melawan yang tinggi apabila bangkit di babak kedua dengan dua gol oleh Lee Tuck dan Serhii Andriseiev untuk mengikat JDT bagi meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi terakhir liga pada malam ini.
JDT turun dengan barisan terbaiknya dalam misi tidak mahu mengulangi kekalahan pada minggu lalu kepada PJ City FC dan telah awal-awal menguji penjaga gawang lawan, Ilham Amirullah.
Ilham Amirullah telah dipaksa menyelamatkan gawangnya pada minit ke-3 menerusi percubaan deras Diogo selepas berlaku kekalutan di kawasan gol bermula daripada sepakan penjuru.
Masalah di benteng memaksa Terengganu membawa masuk pertahanan TFC II, Serhii Andriseiev selain turut menyenaraikan Hafizal Mohamad dalam perlawanan terakhir liga. Begitupun, mereka berjaya menyerap asakan tuan rumah dengan baik.
Minit ke-20, satu lagi peluang terbaik hadir buat JDT menerusi percubaan menarik pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid namun ketangkasan Ilham Amirullah berjaya menyelamatkannya.
Biarpun lebih banyak diasak tuan rumah, Terengganu tenang menyerap asakan dan hasilnya mereka berjaya mengejutkan JDT menerusi gol Sanjar Shaakhmedov yang diledak pada minit ke-24 berpunca daripada sepakan penjuru Lee Tuck di sisi kiri gawang.
Gol tersebut mengejutkan Harimau Selatan dan akhirnya Leandro Velazquez berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-31. Rembatan rendah deras itu adalah gol ke-8 untuk musim ini.
5 minit kemudian, giliran Safawi Rasid pula menjaringkan gol buat JDT untuk membantu mereka mendahului perlawanan dengan keputusan 2-1. Safawi Rasid menewaskan pertahanan, Hafizal Mohamad sebelum melepaskan rembatan deras kaki kirinya.
Gerakan menarik Gonzalo Cabrera melepasi kawalan dua benteng Sang Penyu dan kemudian merembat rendah berjaya menewaskan Ilham Amirullah buat kali ke-3. Ini merupakan gol ke-11 Gonzalo Cabrera musim ini dan ketiga buat JDT di hujung babak pertama.
Babak kedua bermula dengan penguasaan baik dipamerkan oleh JDT terutamanya di kawasan final third mereka menerusi kombinasi Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera dan Diogo. Minit ke-53, Gonzalo Cabrera berjaya melepaskan percubaan namun sedikit tersasar.
Pelawat memberikan respon seminit kemudian dengan Farizal Marlias berjaya menyelamatkan percubaan Tchetche Kipre selepas pemain kelahiran Ivory Coast itu melepasi kawalan Mauricio.
Pemain yang dibawa masuk daripada TFC II, Serhii Andriseiev berjaya merapatkan jurang gol di minit ke-65 apabila tandukkannya berjaya menewaskan Farizal Marlias selepas menerima hantaran lambung Sharin Sapien di dalam kotak penalti.
Tuan rumah dilihat mengendurkan asakan apabila semakin kurang mengasak ke kubu lawan dengan Terengganu semakin bernafsu memburu gol penyamaan dengan dua pertukaran dibuat oleh Nafuzi Zain memasukkan Khairu Azrin dan Muhammad Faudzi.
Dan akhirnya, kapten Sang Penyu, Lee Tuck berhasil meledak gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi sepakan percuma berhampiran kotak penalti JDT namun seminit kemudian dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.
Penyerang sensasi JDT, Diogo mensia-siakan peluang memberikan kemenangan buat mereka apabila sepakan penalti yang diraih tuan rumah pada penghujung perlawanan telah berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang pelawat, Ilham Amirullah.
Keputusan ini tidak membawa makna buat Terengganu apabila tetap gagal memintas Perak di kedudukan ke-6 liga namun selepas 5 pertemuan di Larkin, akhirnya mereka berjaya meraih mata.
JDT: Farizal Marlias (PG), Mauricio, Adam Nor Azlin, S. Kunanlan, Azrif Nasrulhaq, Hariss Harun (K), Afiq Fazail (86′ Akhyar Rashid), Leandro Velazquez, Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera, Diogo
Terengganu FC: Ilham Amirullah (PG), Serhii Andriseiev, Nasrullah Haniff (77′ Muhammad Faudzi), Kamal Azizi, Hafizal Mohamad, Sharin Sapien, Lee Tuck (K), Sanjar Shaakhmedov (73′ Khairu Azrin), Nabil Latpi (46′ Rahmat Makasuf), Syamim Yahya, Tchetche Kipre