Selangor meraih kemenangan ke-4 selepas menundukkan KL City FC 4-1 dalam aksi minggu ke-6 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Selepas melalui perlawanan minggu lalu dengan keputusan seri menentang Kuala Lumpur, pelawat bangkit di babak kedua dengan 4 gol dalam perlawanan ini untuk menumbangkan KL City FC.
Aksi babak pertama menyaksikan penguasaan perlawanan oleh Selangor yang acap kali cuba mengasak tuan rumah namun gagal untuk menembusi gawang yang dikawal oleh K. Dinesh.
Biarpun memiliki barisan pemain yang jelas lebih baik berbanding lawan, Selangor tampak masih tidak mampu meledak sebarang gol yang pastinya mengecewakan pengendalinya, Addy Shairullyzam.
Mereka merupakan pasukan paling efektif di depan gol dengan 17 gol telah dihasilkan dalam 5 perlawanan dan berdepan dengan pasukan yang merekodkan bolos terbanyak – 19 gol setakat ini.
Pelawat dilihat gagal mempamerkan sentuhan berbisa dan antara peluang terbaik Selangor adalah menerusi percubaan Ruzaini Norazam yang hanya mampu mengegar tiang gol lawan.
Tidak lama selepas itu, giliran Akmal Yazadh pula melakukan percubaan namun ianya jauh tersasar daripada palang gol. Itu merupakan antara 14 percubaan pelawat di babak pertama.
Bermula babak kedua dengan Selangor masih mempamerkan aksi baik – menguasai perlawanan namun selepas 7 minit berlangsung, KL City FC mula menampakkan kebangkitan antaranya percubaan Haziq Adnan yang diselamatkan penjaga gol, Syaifuddin Syukri.
Namun, itulah satu-satunya percubaan dan cubaan bangkit KL City FC sebelum gawang mereka mula dirobek oleh pasukan pelawat.
Minit ke-29, Selangor berjaya mendahului perlawanan apabila Ridhwan Zainal berjaya meledak gol pembukaan buat pelawat hasil sentuhan mudahnya di depan gawang tuan rumah selepas menerima hantaran baik Sufri Shamil di sisi kanan gol.
Tidak sampai seminit, pelawat menggandakan jumlah gol apabila giliran Akmal Hakimi pula mengecewakan tuan rumah yang sedang bermain taktikal powerplay. Rembatan jarak jauh cantiknya berjaya membolosi gawang Kuala Lumpur hasil gerakkan Sufri Shamil.
Minit ke-35, kapten KL City FC, Muzhaffar Tahar berjaya meledak gol pertama tuan rumah hasil hantaran cantik Addli Che Hussin. Ini adalah gol ke-6 peribadinya dalam saingan MPFL 2019.
Namun, berpunca daripada powerplay sekali lagi, Azri Rahman pula berjaya meledak gol jarak jauh daripada kawasan sendiri melewati barisan pemain KL City yang sedang mengasak di minit ke-39.
Tidak sampai seminit, K. Dinesh tewas sekali lagi apabila kapten Selangor, Fariq Mohammad berjaya meledak gol ke-4 pelawat hasil gerakan pantas penjaring gol ke-3, Azri Rahman.
Kemenangan ini membolehkan Selangor mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan 13 mata, 3 mata di depan Pahang yang mengekori rapat dan kekurangan satu perlawanan. Sementara KL City pula terus terperosok di dasar liga.
Pemain terbaik perlawanan: Akmal Hakimi (Selangor)