MPFL 2019: Kuala Lumpur Catat Kemenangan Sulung, Atasi Perak 4-3 Dalam Aksi Mendebarkan

Kuala Lumpur

Kuala Lumpur meraih kemenangan sulung saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2019 selepas berjaya menundukkan Perak 4-3 dalam aksi yang cukup mendebarkan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Turun dengan misi memburu kemenangan pertama, Kuala Lumpur dan Perak mempamerkan corak permainan menarik sejak dari awal permainan.

Perak yang dibimbing bekas pemain futsal kebangsaan, Ruzaley Aziz    dilihat lebih mengancam ke kubu tuan rumah terutamanya menerusi Aidil Shahril Rosli.

Dengan kemahiran individu serta rembatan padu dimiliki, Aidil menjadi watak penting buat Perak bagi memburu jaringan di samping kelibat Ridzwan Bakri.

Semuanya tampak berjalan lancar buat Perak setelah berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi jaringan sendiri Muhammad Shafiq Mohd Tahir.

Shafiq yang cuba untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil hantaran lintang Ridzwan melakukan kesilapan dengan tendangannya yang menerjah gawang sendiri.

Kelebihan jaringan Perak itu hanya bertahan empat minit selepas Kamilul Shahidin Abdul Karim meledakkan rembatan percuma padu yang terus menewaskan penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin.

Jaringan itu jelas menjadi tonik berguna buat Kuala Lumpur apabila menambah jaringan kedua berselang seminit kemudian menerusi Ahmad Azim Mohammad.

Gol tersebut berpunca daripada kelalaian pertahanan Perak yang tidak mengawal Ahmad Azim ketika situasi sepakan sudut.

Kamilul sekali lagi membuktikan ketajaman penyudah yang dimiliki setelah rembatan padu diledakkannya pada minit ke-33 gagal dihalang penjaga gol gantian, Mohd Firdaus Razali.

Penjaga gol Kuala Lumpur, Muhamad Hazwan Abdullah yang seringkali menggagalkan usaha Perak, bolos buat kali kedua di minit ke-35.

Hazwan yang berjaya menyelamatkan percubaan Wan Norhisyam Ar Wan Nasri, gagal melakukan perkara yang sama untuk memberikan peluang buat Perak merapatkan jurang.

Permainan semakin menarik menuju penghujung aksi dengan dua jaringan terhasil. Mulhim Muqri Faisal kembali menjadikan defisit jaringan kepada dua jaringan hasil jaringan pada minit ke-39.

Tak sampai seminit jaringan tersebut terhasil, Ridzwan Bakri menghidupkan kembali peluang buat Perak tetapi ia belum cukup untuk menghalang kemenangan 4-3 memihak Kuala Lumpur.

Pemain terbaik perlawanan: Kamilul Shahidin Abdul Karim (Kuala Lumpur)

Kredit foto: FA Penang

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN