Pengarah Enervive Sdn Bhd, sebuah firma pelaburan butik, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid menyokong usaha Malaysian Football League (MFL) yang dikatakan telah bersedia melakukan penstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia.
Langkah itu diambil sebagai usaha MFL mengatasi kebergantungan kepada penaja atau penyiar utama yang dilihat tidak mampan dalam membangunkan nilai hak penyiaran di Malaysia.
Lebih tepat, Nizamuddin menganggap cadangan yang diilhamkan oleh Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim cukup relevan dan mampu menarik minat ramai pelabur yang secara langsung akan menaikkan nilai hak penyiaran dengan jauh lebih berkesan berbanding struktur pengurusan hak penyiaran yang asal.
“Inilah antara sebab utama MFL ditubuhkan. Supaya nilai Liga Malaysia dapat dipertingkatkan. Sejujurnya saya terkejut apabila mendengar perancangan ini dari Kevin Ramalingam yang pada waktu itu ingin mendapat sudut pandang sebuah firma pelaburan ketika merangka cadangan untuk menstrukturkan semula penyampaian hak siaran Liga Malaysia selepas beliau dititahkan untuk berbuat demikian oleh DYAM Tunku Ismail.
“Pada waktu itu juga firma kami terus menyatakan minat untuk melabur jika struktur yang dicadangkan itu digunakan,” katanya.
Biarpun pembaharuan itu tidak semudah yang disangka, Nizamuddin kekal optimis dan menyatakan bahawa idea penyelesaian ini menampakkan karekter MFL terutama sekali di bawah kepimpinan DYAM Tunku yang mengambil pendekatan berani demi kebaikan bola sepak tempatan.
“Langkah penstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia yang diilhamkan oleh Tunku Ismail adalah satu idea baharu, sangat berani dan mendepani masa depan.
“Benar, untuk melaksanakan sesuatu yang mendepani masa, cabarannya sangat hebat. Namun itulah tanggungjawab yang dipikul oleh MFL. Untuk membawa liga kita ke tahap yang lebih tinggi di persada antarabangsa. Saya percaya MFL akan menerima lebih banyak faedah jika penstrukturan dibuat.
“Kepimpinan Tunku Ismail dalam dunia bola sepak tidak perlu dipertikaikan lagi dan jika baginda memiliki idea untuk memajukan Liga Malaysia, saya sentiasa memberikan sokongan padu kepada baginda,” katanya
Dalam perkembangan sama, Nizamuddin percaya pembaharuan yang dilakukan badan pentadbir Liga Malaysia itu bakal mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak.
Malah Nizamuddin juga tidak menolak kemungkinan bahawa profil Liga Malaysia akan terus melonjak dengan beberapa pendekatan baharu itu nanti.
“Saya pasti sekiranya cabaran-cabaran dalam melaksanakan rancangan ini dapat di atasi, pelabur dan penaja akan menyokong usaha MFL ini.
“Liga Malaysia memiliki potensi yang sangat besar untuk berkembang dan MFL senang bergerak dengan baik untuk menjadi Liga terbaik di Asia Tenggara,” ujarnya.