Saingan ‘Matchday 2’ Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) yang berlangsung semalam menyaksikan dua pasukan pilihan, Selangor dan Pahang merakamkan kemenangan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing di gelanggang sendiri.
Sementara itu, dua lagi keputusan berkesudahan dengan seri pada pertembungan Pulau Pinang menentang Kuala Lumpur dan Perak bertemu Kedah.
Seperti yang dilakukan pada minggu lalu, penulis sempat untuk menyoroti tujuh perkara menarik yang dapat dikongsikan kepada pembaca pada hari perlawanan kedua MPFL 2019 ini.
1) Giliran Saiful Nizam jadi tumpuan
Selepas Muhammad Fariq Mohammad menjadi bualan dengan empat gol dihasilkan pada pertemuan menentang Perak, Saiful Nizam Mohd Ali pula menjadi tumpuan malam tadi.
Pemain kebangsaan yang mewakili Pahang Rangers itu meledakkan hatrik ketika beraksi di Stadium Tertutup SUKPA.
Gol ketiga yang dihasilkannya pada minit ke-39 itu lebih bermakna apabila telah menghadiahkan tiga mata penuh buat Pahang.
2) Jaringan terpantas bertukar milik
Jaringan pada minit kedua oleh pemain Selangor, Syed Aizad Daniel Syed Nasir telah memadamkan rekod lama yang dipegang Mahadir Harahap Khairuddin dari Pahang.
Muhammad Addli Che Husin (KL City) dan pemain Kuala Lumpur, Muhammad Ilyasha Alimin juga turut menjaringkan gol lebih pantas berbanding Mahadir iaitu pada minit ketiga dan keempat permainan.
Mahadir sebelum ini mencipta jaringan pada minit kelima.
3) Kebangkitan tiga pasukan dari ketinggalan
Aksi kedua ini turut memperlihatkan semangat juang yang cukup tinggi dipamerkan Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.
Pahang yang ketinggalan dua gol kembali menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-15 dan kemudiannya sekali lagi KL City mendapatkan jaringan pendahuluan.
Dua jaringan Saiful Nizam melengkapkan kebangkitan hebat mereka untuk menewaskan KL City hasil jaringan lewat permainan.
Kedah yang beraksi di Ipoh tertekan selepas ketinggalan 0-3 tetapi semangat juang masih menebal untuk kembali bangkit mengikat tuan rumah.
Nasib serupa dialami Pulau Pinang setelah ketinggalan 1-3 pada babak pertama. Namun, berjaya bangkit dengan dua jaringan bagi berkongsi mata dengan Kuala Lumpur.
4) Jaringan pertama menerusi sepakan penalti tercipta
Sepakan yang berjaya disempurnakan oleh pemain Kedah, Anwar Osman telah menjadikannya sebagai penjaring sulung menerusi sepakan penalti dalam kempen MPFL 2019.
Lebih manis buat Anwar apabila tendangannya berjaya menewaskan penjaga gol berpengalaman negara yang beraksi bersama Perak, Mohd Firdaus Razali.
5) Enam pasukan menamatkan perlawanan dengan tiga gol
Secara kebetulan pada perlawanan semalam, terdapat enam pasukan yang menamatkan perlawanan dengan menjaringkan tiga gol.
Pasukan-pasukan tersebut adalah Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan KL City FC.
6) 36 penjaring gol yang berbeza
Mengikut statistik peribadi dilakukan oleh penulis, terdapat 36 penjaring gol yang berbeza dapat disaksikan selepas dua perlawanan dilalui.
36 orang penjaring tersebut telah mencipta 50 jaringan kesemuanya dengan Fariq dan Saiful Nizam pada ketika ini merupakan penjaring terbanyak dengan empat gol dihasilkan
7) Usaha pasukan bertanding menyediakan ‘live streaming’
Selain daripada aksi Perak bertemu Kedah yang disiarkan secara langsung di Astro Go, para peminat dapat menyaksikannya menerusi ‘live streaming’ yang diusahakan pasukan tuan rumah.
Usaha pasukan Selangor yang mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) wajar dipuji dan perlu menjadi ikutan pasukan lain apabila ‘live streaming’ mereka disertakan dengan ulasan perlawanan serta menjemput jurulatih futsal berpengalaman, Qusmaini Noor Rusli untuk memberikan input berguna dalam futsal.
Kedudukan semasa dan minit perlawanan juga turut disertakan pada ‘live streaming’ yang nyata memudahkan penonton.
Namun, apa yang diusahakan Pulau Pinang dan Pahang juga merupakan perkembangan baik sekaligus memberikan peluang buat pencinta futsal untuk menikmati perlawanan dari jauh.
Sekiranya terdapat gangguan liputan kerana masalah ‘coverage’, diharapkan para peminat dapat memahaminya.