Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL 2019) yang membuka tirainya pada hujung minggu lalu telah mula menampakkan sambutan yang begitu menggalakkan.
Corak permainan menarik ditampilkan para pemain dihangatkan lagi dengan kehadiran ribuan penyokong terutamanya ketika aksi Kuala Lumpur bertemu Pahang Rangers dan Selangor menentang Perak di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.
Lebih mengejutkan ketika aksi Selangor dan Perak, dikhabarkan ramai peminat yang tidak dapat masuk ke dalam bagi menyaksikan perlawanan apabila stadium telah dipenuhi penyokong kedua-dua pasukan.
Dalam pada itu, aksi sulung MPFL 2019 ini juga menampilkan enam perkara menarik yang dapat kami kongsikan kepada anda.
1) 27 jaringan berjaya dihasilkan dalam empat perlawanan
Walaupun baru empat perlawanan yang berlangsung tetapi sudah 27 jaringan berjaya dicipta pada aksi Sabtu dan Ahad lalu itu.
Dalam 27 gol tersebut, 12 daripadanya terhasil pada perlawanan KL City FC menentang Pulau Pinang yang menyaksikan skuad Haria itu menang dengan keputusan 7-5.
Berdasarkan statistik, 12 jaringan telah dihasilkan pada babak pertama manakala baki 15 gol lagi di 20 minit terakhir.
2) Penjaring pertama MPFL 2019 milik pemain Terengganu FC
Kelebihan beraksi sehari lebih awal menentang Kedah berbanding pasukan lain digunakan sepenuhnya oleh pemain Terengganu FC iaitu Mohd Aizat Saari yang menjadi penjaring pertama bagi edisi sulung ini.
Aizat membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas bijak menguis masuk bola hasil hantaran rakan sepasukannya ke dalam kawasan D pasukan Kedah.
Secara kebetulan, gol penyamaan Kedah juga pada minit ke-17 turut dijaringkan oleh ‘Mohd Aizat’ tetapi beliau adalah Mohd Aizat Aizuddin Meli.
3) Mahadir Harahap Khairuddin cipta jaringan terpantas
Pemain Pahang Rangers berdarah kacukan Malaysia-Thailand, Mahadir Harahap Khairuddin meletakkan namanya selaku penjaring terpantas buat ketika ini apabila ledakannya pada minit kelima berjaya menembusi gawang Kuala Lumpur.
4) Selangor satu-satunya pasukan tanpa bolos
Pendahulu MPFL 2019 dengan kelebihan defisit jaringan, Selangor menjadi satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi apabila berjaya mengekang serangan hebat dijelmakan Perak untuk menang 5-0.
Ternyata ia merupakan permulaan yang cukup baik buat skuad bimbingan Addy Shairullyzam itu.
5) Fariq Mohammad & Azrul Hadee paling mencuri tumpuan
Seperti yang diketahui, kapten Selangor, Muhammad Fariq Mohammad begitu mencuri tumpuan apabila keupayaannya menjaringkan empat gol ketika membantu Selangor menundukkan Perak.
Bekas pemain skuad futsal kebangsaan itu memperlihatkan ketenangan ketika beraksi apabila mengemudi pasukan dengan baik serta menyudahkan peluang dimilikinya.
Jaringan kedua pada penghujung babak pertama boleh dilabelkan sebagai antara gol tercantik pada ‘matchday 1’ ini.
Jaringan yang setanding dengan rembatan sepakan percuma padu diledakkan Iqhmal Najmie Ismail dari Pulau Pinang.
Sementara itu penjaga gol Selangor, Azrul Hadee Mohd Taufiq juga menjadi watak penting pada perlawanan tersebut.
Hadee beraksi dengan cukup cemerlang dalam menafikan setiap asakan pemain Perak terutamanya menerusi dua pemain kebangsaan, Ridzwan Bakri dan Awalluddin Mat Nawi.
6) ‘Fullhouse’ di Kompleks Sukan Negara Panasonic
Penulis yang turut berada di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam teruja melihat para peminat futsal tanah air dalam memberikan sokongan buat pasukan kesayangan mereka.
Sambutan menggalakkan sememangnya sudah dijangka tetapi yang terjadi pada Ahad lalu adalah di luar jangkaan.
Ia memberikan gambaran jelas bahawa futsal turut mempunyai pengikut setia dan sentiasa menyokong perkembangan sukan lima sebelah tersebut.
Kedudukan terkini & perlawanan ‘Matchday 2’
Kredit foto: FAM & Arena Futsal Malaysia