Selepas dua musim bersama skuad gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), Dani Alves telah mengumumkan yang beliau akan meninggalkan kelab tersebut.
Keputusan tersebut dibuat selepas Alves kini sudah bergelar ejen bebas. Pemain antarabangsa Brazil yang berusia 36 tahun itu menyertai PSG pada musim 2017/18 selepas direkrut dari Juventus.
Ketika ini, Alves dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris dan juga dilaporkan kembali ke Barcelona sebagai salah satu pilihan buatnya.
Menulis dalam satu hantaran di laman Instagram rasmi milik beliau, Dani Alves memberikan ucapan penghargaan buat PSG.
”Hari ini saya menutup satu lagi kitaran dalam hidup saya, kitaran kejayaan, pembelajaran dan pengalaman.”
”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga PSG untuk peluang bagi sama-sama membina catatan sejarah kelab ini.”
”Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan pasukan kerana kasih sayang, rasa hormat dan keterlibatan sejak dari hari pertama, Anda membuatkan kelab ini lebih istimewa.”
”Ia merupakan dua tahun yang berdaya tahan dan berterusan dalam mencipta semula misi saya tetapi dalam hidup ini segalanya mempunyai permulaan, pertengahan dan pengakhirannya.”
”Dan sekarang sudah tiba masanya untuk meletakkan titik terakhir di sini.”
Alves yang kini berada di tanah airnya bagi kempen Copa America 2019 telah lima kejuaraan bersama PSG. Antaranya adalah dua kejuaraan Ligue 1 serta trofi Coupe de France dan Coupe de la Ligue 2017/18.
Alves yang memulakan karier profesional beliau bersama Bahia turut pernah beraksi bersama Sevilla dan Barcelona.