Pemenang dua trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid, Christian Karembeu menyifatkan bahawa pemain tengah Manchester United, Paul Pogba sudah bersedia untuk menyarung jersi putih Los Blancos.
Masa depan pemain berusia 26 tahun itu masih menjadi tanda tanya dan nama beliau ketika ini semakin kuat dikaitkan dengan Real Madrid serta bekas kelabnya, Juventus.
Menurut sumber Goal, Pogba kini merupakan sasaran utama kelab gergasi Sepanyol tersebut berbanding pemain tengah Tottenham Hotspur, Christian Eriksen.
Bagi Karembeu, beliau mengharapkan agar pemain antarabangsa Perancis itu akan dapat menyertai Real Madrid pada musim panas ini.
”Dia (Paul Pogba) merupakan pemain yang hebat dan Zizou (Zinedine Zidane) mengenalinya ketika di Juventus.”
”Dia sudah bersedia untuk Real Madrid walaupun perlu untuk membuktikannya.”
Andai disingkap semula laporan dikeluarkan Goal pada Mac lalu, Zinedine Zidane tanpa berselindung mengakui bahawa Paul Pogba adalah seorang pemain yang digemarinya.
”Saya amat menggemari Pogba dan anda mengetahui mengenai perkara tersebut.”
”Saya mengenalinya dengan sangat baik, dia merupakan jenis pemain yang berbeza, dia boleh menjelmakan banyak perkara kerana kemahiran individunya. Dia tahu bagaimana untuk menyerang dan bertahan.”
”Bagaimanapun, dia bukan pemain saya. Dia bermain untuk (Manchester) United dan kami perlu menghormatinya. Dia sentiasa mengatakan yang dia menyukai Madrid.”
Selepas Eden Hazard berjaya direkrut, mungkinkah Paul Pogba juga bakal menjadi perpindahan berprofil tinggi pada jendela perpindahan kali ini buat Real Madrid?