Bekas penjaga gol kelahiran Australia, Mark Bosnich menyifatkan Frank Lampard telah membuat langkah yang cukup hebat sekiranya beliau memilih untuk membimbing Chelsea.
Nama Lampard ketika ini merupakan calon utama bagi mengisi kekosongan kerusi panas kelab London itu selepas pengendali terdahulu, Maurizio Sarri memilih untuk menyertai Juventus.
Antara sebab lain Lampard dikaitkan dengan Chelsea adalah kejayaannya mengubah skuad Derby County sehingga berjaya mara mara ke perlawanan akhir play-off pada musim pertamanya selaku pengurus.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, Bosnich yang juga pernah beraksi untuk Chelsea merasakan ini adalah peluang terbaik buat Lampard.
Bosnich juga berpendapat bahawa larangan pembelian pemain bagi dua jendela perpindahan yang dihadapi Chelsea akan mengurangkan tekanan dari pengurusan tertinggi dan mampu menjadi landasan tepat buat Lampard bagi merasai tekanan Liga Perdana Inggeris.
”Saya merasakan ini akan menjadi langkah hebat buat kedua-dua belah pihak.”
”Dari perspektif Chelsea, hakikat mereka telah dilarang untuk dua jendela perpindahan dan kehilangan pemain terbaik, Eden Hazard, mungkin bukan perjalanan yang lancar bagi mereka tetapi memiliki legenda kelab akan memberikan ruang untuk bernafas,” jelas Bosnich menyatakan sokongan buat bekas kelabnya itu.
”Dan untuk Frank, ia adalah langkah yang fantastik. Ini merupakan tugasan impian, tidak ramai manusia dalam dunia ini yang mendapat tawaran sedemikian.”
“Sekiranya dia kekal bersama Derby dan katakanlah, sebagai contoh, dia tewas tujuh daripada 10 perlawanan pertama dan perkara-perkara tidak baik berlaku, dia akan berkata kepada dirinya sendiri, ‘Saya sepatutnya mengambil peluang itu (menyertai Chelsea).’
“Saya fikir ia satu langkah yang sangat baik dan saya berharap ia berfungsi untuknya.”
”Saya sangat rapat dengan Frank ketika saya bersama Chelsea. Dia bukan sahaja pemain yang hebat tetapi seorang lelaki yang hebat dan saya fikir ini sangat ideal buatnya.”
Chelsea sememangnya dalam usaha untuk mengumpul bekas pemain hebat mereka selepas membawa masuk Petr Cech sebagai Penasihat Teknikal & Prestasi kelab.
Selepas itu kedengaran nama Claude Makelele juga akan dibawa ke Stamford Bridge.
Frank Lampard bila lagi? Sama-sama kita nantikan!