Legenda dan juga bekas peledak berbisa Real Madrid, Raul Gonzalez Blanco disahkan akan mengemudi skuad simpanan (Castilla) Los Blancos bagi menghadapi musim 2019/20.
Raul sebelum ini membimbing skuad remaja Real Madrid dan pasukan Cadete B kendaliannya telah berjaya memenangi Sant Gabriel Cup selepas menundukkan Barcelona 2-0.
”Raul Gonzalez Blanco akan membimbing Castilla pada musim hadapan,” pengumuman rasmi yang dilakukan Real Madrid berkenaan perkembangan terbaharu itu.
”Raul, pada musim ini menjadi pelatih buat Cadete B dan Juvenil B, akan memulakan era profesional baru di Real Madrid.”
”Seorang legenda di Madrid, Raul beraksi untuk skuad utama Real Madrid untuk 16 musim, di mana dia memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah, dua Piala Dunia Kelab FIFA, satu UEFA Super Cup, empat kejuaraan La Liga dan empat Supercopas.”
Sebagai rekod, Raul Gonzalez telah menjaringkan 323 gol dalam 741 penampilannya bersama Real Madrid bermula musim 1994/95 hingga 2009/2010.
Pelantikan bermakna tersebut menyaksikan Raul mengikuti jejak langkah dua bekas rakan sepasukannya di Real Madrid iaitu Zinedine Zidane dan Santiago Solari yang pernah menggalas tugas membimbing skuad Castilla ini.
Mungkin satu hari nanti beliau akan dapat bekerjasama dengan Zidane di skuad utama atau terus sahaja dilantik sebagai pengurus Los Blancos.