Ketika artikel ini ditulis, tanda pagar #GlazerOut sedang trending di twitter secara global – sekali lagi.
Namun ianya bukan perkara baharu bagi peminat Manchester United. Tak terkira betapa banyak kempen itu mereka sudah lakukan.
Ikuti kupasan kami tentang kempen Glazer Out ini dan sejarah penglibatan keluarga Glazer dalam Manchester United.
(Nota editor: Keluarga Glazer akan banyak ditulis sebagai Glazer sahaja dalam artikel ini)
Latar Belakang
Pada pertengahan 90-an ramai pelabur dan ahli perniagaan Amerika keluar untuk mencari satu produk sukan. Di Amerika Syarikat sendiri, sukan seperti NBA, Hoki Ais, NFL, MLB, dan banyak lagi telah menunjukkan bahawa industri itu mampu menjadi serampang 2 mata.
Pertamanya, ia mampu meningkatkan publisiti sesebuah jenama syarikat ataupun individu pemilik. Seterusnya ianya akan mampu memberikan kekayaan berlipat kali ganda.
Antara mereka yang mulai meneroka ke Eropah adalah keluarga Glazer. Mereka merupakan taikun dalam hartanah. Dan menyedari, industri sukan terutamanya bola sepak di Eropah akan mampu menjadikan mereka jutawan yang sangat kaya.
Ini selepas Glazer terlibat dalam industri American Football di AS. Pada 1995, keluarga Glazer telah membayar sekitar £185 juta untuk membeli pasukan NFL; Tampa Bay Buccaneers. Pasukan tersebut awalnya tidak begitu menguntungkan kerana bergelut dengan prestasi.
Pada 1998, Glazer telah melobi kerajaan tempatan untuk membina stadium baharu kepada Buccaneers pada 1998. 5 tahun selepas itu, Tampa Bay menjuarai Super Bowl pertama dalam sejarah mereka. Keluarga Glazer mendapat publisiti yang sangat tinggi.
Mereka mulai lebih berani untuk mencari pasukan lain dalam industri sukan. Dan pada tahun 2003 itu juga Manchester United mencari pelabur baharu dalam kelab mereka. Dan keluarga Glazers merasakan Manchester United adalah jenama yang sangat kuat untuk mendukung cita-cita mereka.
Anak kepada Malcom Glazer iaitu Avram Glazer memainkan peranan penting dalam perlaburan ini. Beliau meyakinkan keluarganya agar menerokai Eropah. Avram lebih berminat dengan bola sepak di Eropah – bukannya ‘bola sepak’ di Amerika.
Glazer mengambil alih Manchester United
Pada awalnya keluarga Glazer melabur sekitar £9 juta untuk memiliki hanya 2.9% kepentingan di dalam Manchester United. Mereka menggunakan nama syarikat Red Football. Pada 26 September 2003, mereka meningkatkan lagi kepentingan kepada 3.17%. Ianya membolehkan mereka terlibat dalam pengurusan tertinggi kelab.
Melihatkan semangat pada Avram Glazer ke atas Manchester United, beberapa media mulai melaporkan Glazers berminat untuk mengambil alih Manchester United dalam masa terdekat.
Pada November 2003, mereka sudah memiliki 15% kepentingan di dalam Manchester United. Anda sendiri menyedari betapa cepatnya keluarga Glazer meningkatkan angka itu. Selepas itu mereka bertemu dengan CEO Man. United, David Gill untuk membincangkan pemilikan kelab.
Pada Februari 2004, Glazer menaikkan lagi pegangan saham mereka kepada 16.13%. Financial Times melaporkan Comerzbank antara penyokong utama Glazer dalam pengambilalihan Manchester United.
Secara tidak langsung, nilai kelab Manchester United ketika itu naik sekitar 5% – £741 juta – kerana spekulasi saham yang dibuat oleh beberapa media ekonomi.
Kepentingan mereka terus meningkat dan mencecah 30% pada hujung tahun 2004. Angka yang membolehkan mereka melakukan bidaan secara rasmi untuk pengambilalihan kelab.
Mimpi ngeri penyokong Manchester United menjadi nyata apabila Glazer secara rasmi mengambil alih Manchester United pada 2005. Ini selepas mereka berjaya memujuk J. P. McManus and John Magnier menjual saham mereka sebanyak 28.7% – membolehkan Glazer memiliki pegangan kepentingan sebanyak 57%.
Tidak lama selepas itu, mereka meningkatkan kepentingan mereka kepada 62% dengan membeli saham milik Harry Dobson. Pada 13 Mei 2005, mereka mulai menguasai 74.81%.
Dan pada 22 Jun 2005, Glazer mengeluarkan saham daripada bursa saham – buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun. Glazer kemudian melobi pemilik saham yang lain dalam kelab agar menjual kepentingan kepada mereka. Dan pada 28 Jun, Red Football (milik Glazer) akhirnya berjaya memiliki Manchester United.
Kenapa penyokong United benci dengan pemilikan Glazer?
Apa yang membuatkan penyokong Manchester United tidak senang dengan cara Glazer memiliki kelab itu adalah – mereka meminjam wang yang sangat besar yang disebut Payment In Kind Loans (PIK).
Ini secara tak langsung meletakkan Manchester United sebagai kelab yang berhutang, buat pertama kali sejak diselamatkan oleh James Gibson pada 1931.
Apa yang berlaku, Glazer bukan menyuntik dana ke dalam kelab. Tetapi menyuntik hutang ke dalam kelab. Glazer tiada risiko yang tinggi – sebaliknya segala beban hutang itu lebih ditanggung oleh Manchester United. Ataupun rumusnya, kerugian milik kelab, jika ada pulangan (tak semestinya keuntungan), mereka boleh ambil secara peribadi.
Pinjaman PIK ini meletakkan kelab dalam risiko – kerana ianya lebih kepada pertambahan faedah pinjaman berbanding dengan kemasukan aliran wang. Kesannya, ia akan meletakkan Manchester United dalam risiko menjadi kelab yang memiliki kadar hutang sangat tinggi.
Kerisauan penyokong ketika itu, tindakan Glazer ini akan meletakkan Manchester United dalam risiko muflis jika gagal diuruskan dengan baik.
Walaupun Man. United pada hari ini dilihat sukar untuk muflis kerana menjana pendapatan yang tinggi. Namun, dari aspek hutang; perkara itu hari ini memang berlaku, kerana Manchester United adalah pasukan yang paling tinggi hutang secara angka.
Glazer menjadikan United lubuk wang (money pit)
Carta di bawah ini menunjukkan , dari 2008-2017 Malcom Glazer dan keluarganya sudah mengambil sekitar £1 billion daripada kelab. Hanya dengan cara, menyuntik hutang ke dalam Manchester United, dan mengambil dividen daripada pendapatan kelab.
Pada 2017, Glazer telah menjual £4.3 juta kepentingan mereka ke Kepulauan Cayman – yang membolehkan mereka mendapat £56 juta keuntungan. Tahun yang sama, UEFA mengumumkan Manchester United sebagai ‘juara’ berhutang di Eropah.
Manchester United terus menjadi raja hutang
Pada 2017, Jumlah hutang United meningkat kepada €536 juta ataupun £464 juta. Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada Benfica yang berada di tangga kedua dengan beban hutang sebanyak €336 juta.
Hutang tersebut lebih 25% daripada apa yang mereka tanggung pada tahun sebelumnya. UEFA juga menyatakan purata keseluruhan hutang kelab di Eropah kian berkurangan sejak 5 tahun kebelakangan ini.
Berita ini tidak disenangi oleh ramai penyokong Manchester United yang sebelum ini memang membantah kehadiran Glazer sekeluarga sejak 2005. Selepas mendengar berita tersebut, penyokong Man. United melancarkan protes besar-besaran dan kempen #GlazerOut.
Glazer diibaratkan tidak ambil kisah pasal hutang sedangkan pendapatan kelab ini pada 2015 dan 2016 masing-masing £521 juta dan £535 juta. Ia sudah cukup untuk membayar hutang kelab ataupun mengurangkannya lebih secara drastik.
Namun begitu, UEFA tetap meletakkan Manchester United dalam senarai tidak perlu risau. Ini kerana mereka memiliki pendapatan (revenue) tahunan dan aset jangka panjang yang besar.
UEFA berkata, kelab perlu risau kerana hutang hanya 80% daripada daripada aset jangka panjang mereka. Ya, Manchester United merupakan antara kelab yang paling bernilai di dunia. Perkara ini juga menjadi serampang 2 mata digunakan Glazer untuk tidak begitu ambil serius soal membayar hutang.
Ini kerana status Manchester United yang mampu menampung hutang setinggi itu kerana jumlah pendapat tahunan mereka, membuatkan Glazer terus menyedut sebahagian besar wang dan hanya membayar hutang pada kadar minimum yang diperlukan.
Anda tidak percaya?
Dalam laporan kewangan pada 2018, Manchester United masih berhutang sekitar £496 juta. Ianya kira-kira 80% daripada aset dan pendapatan kelab. Nampak tak? Angka yang meletakkan hutang pada paras 80%.
Carta di bawah ini anda akan lihat, hutang dan bunga (faedah) yang perlu dibayar Manchester United adalah sekitar £1.282 juta.
Dengan beban hutang yang tinggi, mereka secara tak langsung akan membuatkan pihak lain sukar untuk mengambil alih Manchester United. Jadi, secara teorinya, ada logiknya, mereka sengaja membiarkan hutang itu bertimbun.
Bola sepak selepas perniagaan
Aspek bola sepak kini menjadi perkara kedua selepas perniagaan. Sejak Alex Ferguson meninggalkan kelab, prestasi pasukan Manchester United kian merudum.
Mereka sudah beberapa kali gagal mara ke UCL selepas kejuaraan liga terakhir mereka – pada tahun terakhir Sir Alex Ferguson. Soal bola sepak sentiasa menjadi perkara yang seterusnya, selepas perniagaan.
Struktur pengurusan kelab semakin lemah. Aspek ‘scouting’ juga kian teruk. Ini membuatkan banyak sekali pembelian pemain yang gagal kerana orang yang kurang arif mengendalikan perpindahan – dan menilai harga serta kesesuaian pemain. Seterusnya pengurus seperti Jose Mourinho sendiri merungut kerana aspek bola sepak menjadi bukan keutamaan.
Ed Woodward lebih sibuk mengejar penaja dan membiarkan beberapa pemain sasaran beliau terlepas.
The first Glazer out campaign that we should have listened to. But he was backed because he signed Lindelöf and Bailly. 😂 https://t.co/PuZOlWMKD5
— olajire (@olajire_007) June 20, 2019
Dari segi perniagaan, Ed Woodward dan Manchester United terus berjaya meningkatkan pendapatan tahunan mereka. Dan tahun ini dilaporkan mereka berjaya menjana pendapatan sekitar £581 juta – walaupun berlaku peningkatan pada kos operasi kelab – terutamanya gaji pemain.
https://twitter.com/shashi_zizo/status/1141519037806940160
Dan inilah sebab kenapa Glazer sangat sukakan Woodward. Beliau adalah orang yang sangat pakar dalam perniagaan. Bahkan Louis Van Gaal sendiri pernah memberitahu, Woodward sebagai seorang yang kosong dalam ilmu bola sepak.
“Di Bayern, orang yang menguruskan bola sepak adalah lelaki dewasa [arif dalam bidang]. Dan saya sentiasa menghormati mereka. Manakala di Man. United, Ed Woodward diberikan jawatan CEO.”
“Ed Woodward merupakan orang yang kosong pemahaman tentang bola sepak. Beliau sebelum ini merupakan pegawai bank yang terlibat dalam pelaburan. Sesebuah kelab bola sepak tidak akan diuruskan dengan baik sekiranya terlalu dipacu dengan berasaskan perspektif komersial.”
Van Gaal kemudian berkata: “Ketika saya menyertai Manchester United, saya tidak pernah sekali pun berbincang dengan Woodward tentang falsafah bola sepak.”
Van Gaal mengimbas kembali detik Woodward berkata mereka melantik Van Gaal kerana falsafah bola sepak.
Tidak salah untuk Woodward terus aktif mencari penaja dan menguatkan jenama Manchester United, tetapi lantiklah orang lain yang boleh membantu beliau dalam fokus kepada aspek bola sepak sepenuhnya – misalnya Pengarah Sukan – seperti yang beliau pernah war-warkan sejak tahun lalu.
Van Gaal: “When I was accepting the job, we never spoke about the system Man Utd played with, or about a philosophy. Surprise! It was different with other clubs. I’ve always spoken about that.”
Ed Woodward throws blank cheques without any plan. This incompetence cannot go on.
— Man Utd Channel (@ManUtdChannel) June 3, 2019
Jenama Manchester United yang ampuh
Keampuhan Manchester United menampung hutang ini membuatkan Glazer sekeluarga tidak sesekali terfikir mahu menjual Manchester United kepada orang lain.
Dilaporkan, Glazer hanya akan mempertimbangkan jika ada orang mahu membeli kepentingan mereka dengan nilai sekitar USD4 billion/£3.56 billion, baru mereka akan berbincang. Ianya angka yang sangat tinggi.
Sebelum ini Putera Salman dikaitkan dengan pemilikan Manchester United. Namun selepas itu, beliau menafikan secara rasmi perkara itu. Sebaliknya, Putera Salman hanya membincangkan perniagaan dengan Manchester United.
Reports claiming that HRH the Crown Prince Mohammed Bin Salman intends on buying @ManUtd are completely false. Manchester United held a meeting with @PIFSaudi to discuss sponsorship opportunity . No deal has been materialized.
— تركي الشبانه (@TurkiAlshabanah) February 17, 2019
Dan jika Putera Salman mahu membeli Man. United, baginda ketika ini dilaporkan memiliki kekayaan sekitar £13.5 billion. Ini bermakna baginda harus membelanjakan sekitar 29% daripada kekayaannya untuk membayar tanda harga diletakkan Glazer.
Kempen Glazer Out
Berdasarkan hujahan di atas, anda sudah pasti bertanya, apa yang penyokong Man. United boleh lakukan? Perkara yang terus terlintas di dalam kepala anda pastinya boikot, jangan datang ke stadium.
The United fans have made a huge statement tonight#GlazersOuthttps://t.co/NKFSrn4mIb
— Daily Star Sport (@DailyStar_Sport) June 19, 2019
Perkara ini bagi penulis agak sukar, kerana Manchester United jenama global. Semua penyokong Man. United terutama sekali dari luar Manchester akan sentiasa teruja untuk ke Old Trafford. Dari segi komersil, Manchester United memiliki jenama yang sangat gah dan menarik penaja dengan sangat mudah.
Tidak kira apa yang bergolak di sebalik pentadbiran ataupun prestasi pasukan, Manchester United sentiasa menjadi jenama yang akan diburu penaja.
Ada juga yang menyatakan memboikot pembelian jersi. Tahun lalu Manchester United menjual jersi lebih daripada 1.75 juta secara global.
Secara umumnya, penjualan jersi adalah milik Adidas serta para pemain (hak imej), dan Manchester United mendapat sekitar 15-20% daripada keuntungan Adidas, berdasarkan bonus. Impak kepada boikot ini tidak akan terkesan kepada Glazer.
Namun begitu, penyokong mungkin boleh berhenti menyumbang wang kepada penjualan barangan Manchester United. Pada 2018, Manchester United menjana sekitar £102.9 juta daripada penjualan barangan mereka. Walaubagaimanapun, impaknya hampir sama dengan boikot ke stadium. Pastinya masih ramai akan sanggup berbelanja untuk barangan kelab sebagai kenangan.
Rombakan pada peraturan FFP mungkin harapan terakhir penyokong Manchester United ketika ini. Siapa tahu, akan berlaku perubahan dasar pada peraturan kawalan kewangan kelab UEFA berkaitan dengan salah laku ke atas manipulasi hutang kelab? Itu cuma pandangan penulis.
Buat masa ini, dasar pada FFP tidak mengganggu Manchester United.
Walaubagaimanapun, walaupun penulis bukanlah penyokong Manchester United, penulis sangat menyokong usaha terus berkempen di media sosial dan menyatakan kebencian ke atas Glazer.
Re: #GlazerOut (trending): It might not get rid of the Glazers, but why not if the best we can do is spread the message? I find it odd that people are scared about speaking out against the leaches. It might ruin my opportunity of building certain sources, but happy to sacrifice.
— Dale O'Donnell (@ODonnellDale) June 20, 2019
Pastinya penyokong Man. United berharap akan berlaku perkara drastik dalam masa terdekat ini yang membolehkan keluarga Glazer nyah dari kelab mereka.