AC Milan telah melantik Marco Giampaolo sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak selama dua tahun. Klausa lanjutan kontrak selama setahun turut dimasukkan ke dalam kontrak jurulatih tersebut oleh Milan.
Pengendali berusia 51 tahun itu dilantik untuk menggantikan Gennaro Gattuso yang meninggalkan kelab Serie A itu bulan lalu – setelah gagal mengemudi Milan layak ke pertandingan UEFA Champions League musim hadapan.
Giampaolo sebelum ini adalah jurulatih Sampdoria, dan berjaya membawa pasukan itu menduduki tangga ke-9 Serie A pada musim lalu. Beliau meninggalkan kelab tersebut selepas tamat saingan musim lalu.
Selain Sampdoria, Giampaolo turut pernah mengendalikan beberapa pasukan lain di Itali seperti Cagliari, Siena, Brescia dan Empoli.
OFFICIAL: AC Milan have confirmed the appointment of Marco Giampaolo as the club’s new First Team coach.
The former Sampdoria manager has signed a deal until 2021 with an option for a further year. pic.twitter.com/ni4LwDETCb
— Squawka News (@SquawkaNews) June 19, 2019
Pelantikan Giampaolo dilakukan beberapa hari selepas dua legenda AC Milan, Zvonimir Boban dan Paolo Maldini menyertai pasukan pengurusan kelab tersebut.
Boban meninggalkan jawatan beliau sebagai timbalan setiausaha di FIFA sebelum menerima jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Milan.
Bekas kapten pasukan, Maldini yang memiliki karier selama 25 tahun sebagai pemain bersama Milan pula dilantik sebagai Pengarah Teknikal kelab.
AC Milan adalah juara tujuh kali Eropah, gagal melayakkan diri beraksi di UEFA Champions League sejak musim 2013/14.