MSL 2019: Tundukkan Selangor 3-2, Mahkota Liga Super Semakin Menghampiri JDT

JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri kejuaraan keenam Liga Super Malaysia selepas menundukkan Selangor 3-2 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Selain daripada lima jaringan terhasil, perlawanan ini juga turut menyaksikan satu layangan kad merah diberikan kepada Selangor.

Endrick Dos Santos hampir mengejutkan tuan rumah seawal minit ketiga permainan selepas serangan balas pantas dilancarkan Selangor membuka peluang buat pemain kelahiran Brazil itu meluru pantas ke kubu JDT.

Beliau yang sudah berjaya melepasi kawalan pertahanan JDT bagaimanapun melepaskan percubaan leret sekadar terkena tiang gol.

Terselamat daripada bahaya awal itu, bahagian serangan JDT kembali mengatur gerakan memburu jaringan pembukaan.

Berpunca daripada kesilapan Endrick yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya di sebelah kiri pintu gol Selangor memberikan peluang buat Leandro Velasquez untuk melakukan hantaran kepada Diogo Santo.

Cabrera yang menerima hantaran ke belakang daripada Diogo tidak menunggu lama bagi meledakkan rembatan padu sekaligus menewaskan Khairulazhan Khalid pada minit ke-10.

Belum pun sempat pemain Selangor memperkemaskan aksi mereka, jentera serangan JDT terus mempamerkan ketajaman dengan gol kedua pula terhasil hanya berselang dua minit kemudian.

Idea menarik dari Nazmi Faiz Mansor melakukan hantaran jauh ke sebelah kanan pintu gol Selangor mencari Cabrera yang pantas melakukan lorongan kepada Leandro.

Leandro yang memiliki ruang dalam kawasan penalti Selangor tidak berdepan masalah melakukan percubaan leret untuk gol kedua.

Cabrera hampir menambah jaringan pada minit ke-38 tetapi rembatannya hasil gerakan ke dalam kawasan penalti berjaya dinafikan Khairulazhan.

Anak buah B Satiananthan berjaya mengurangkan defisit jaringan setelah Khyril Muhymeen Zambri meledakkan sepakan percuma cantik dari jarak jauh yang gagal dihalang Farizal Marlias pada minit ke-41.

Aksi separuh masa kedua juga menarik untuk disaksikan apabila JDT  tidak menunggu lama bagi mengasak kubu Selangor.

Hanya selepas dua minit permainan bersambung, sepakan percuma Safawi Rasid yang ditanduk Mauricio Dos Santos Nascimento menggegar tiang gol pelawat.

Percubaan susulan dalam situasi kelam kabut pula berjaya ditepis keluar Khairulazhan dalam usaha menyelamatakan gawangnya.

Safawi menggandakan kedudukan 3-1 pada minit ke-61 selepas menyudahkan dengan baik peluang hasil lorongan cantik Nazmi Faiz dari kawasan sendiri yang gagal dipatahkan K. Prabakaran.

Malang terus menimpa Selangor di minit ke-77 apabila pemain tengah, K. Sarkunan diperintah keluar padang selepas bertindak balas akibat rasa tidak puas hati beliau terhadap keputusan pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa.

Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangat juang skuad gergasi merah untuk terus memberikan saingan dan mereka kembali merapatkan kedudukan pada minit ke-89.

Jaringan kedua itu menjelma hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sandro Da Silva Mendonca selepas Ifedayo Olusegun dikasari  Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam kawasan penalti.

Hajat Selangor untuk sekurang-kurangnya mencipta jaringan penyamaan tidak kesampaian setelah Fairuzi meniupkan wisel penamat bagi mengesahkan kemenangan 3-2 memihak tuan rumah.

JDT kini unggul di tangga teratas Liga Super Malaysia 2019 dengan mengumpul 43 mata. 13 mata meninggalkan Pahang yang menghuni tangga kedua. Bagaimanapun, Pahang masih kekurangan satu perlawanan.

Selangor pula turun ke tangga kelima dengan mengumpul 25 mata selepas Melaka United menang 1-0 keatas Kuala Lumpur.

Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN