Andai bertanyakan kepada peminat bola sepak mengenai siapakah antara pertahanan tengah terbaik di dunia, nama Alessandro Nesta pasti akan termasuk dalam senarai tersebut.
Legenda kelahiran Rome yang mencipta kemasyhuran bersama SS Lazio dan AC Milan itu sebaris dengan kehebatan Franco Baresi, Paolo Maldini dan Alessandro Costacurta.
Kombinasi kekuatan fizikal, ketenangan dan keupayaan teknikal menjadikan Nesta sebagai seorang pertahanan lengkap yang pernah mewarnai kancah bola sepak dunia.
Karier bermula bersama SS Lazio
Lahir di ibu kota Itali sememangnya SS Lazio atau AS Roma bakal menjadi pasukan kesayangan mereka. Itulah yang berlaku dalam kehidupan Nesta apabila keluarganya merupakan peminat setia SS Lazio.
Nesta mula menyertai Akademi SS Lazio pada tahun 1985 ketika berusia sembilan tahun. Keputusan itu dibuat bapanya selepas Nesta turut mendapat tawaran daripada AS Roma.
Tidak mahu melihat anaknya beraksi untuk pasukan ‘rival’ mereka, bapa Nesta menolak tawaran AS Roma dan SS Lazio menjadi pilihan.
Panggilan dari Dino Zoff rintis karier impian
Setelah lapan tahun menimba pengalaman bersama skuad remaja, pengurus ketika itu, Dino Zoff menjadi individu yang bertanggungjawab membawa Nesta ke skuad utama Lazio.
Pada tahun 1993 juga Nesta telah menandatangani kontrak profesional pertama beliau dan secara rasminya menjadi pemain skuad La Prima Squadra della Capitale.
Semusim bersama skuad senior tanpa sebarang penampilan dilakukan, Nesta akhirnya menikmati debut Serie A pada 13 Mac 1994 ketika menentang Udinese di gelanggang lawan.
Alessandro Nesta dimasukkan pada minit ke-78 bagi menggantikan Pierluigi Casiraghi yang menyaksikan perlawanan berkesudahan dengan terikat 2-2.
Usia Nesta pada ketika itu adalah 17 tahun 11 bulan dan 22 hari.
Lebih menarik mengenai Nesta pada usia ini adalah beliau pernah mengakibatkan rakan sepasukan dari England, Paul Gascoigne mengalami patah kaki akibat kekasaran ketika sesi latihan pasukan.
Galas tanggunjawab ketuai skuad emas SS Lazio
Selepas menikmati dua musim hebat dan mengetuai skuad B-21 Itali menjuarai saingan menjuarai Kejohanan Eropah 1996, Nesta mendapat tanggungjawab yang cukup besar bersama Lazio.
Pada usia 20 tahun (1997), beliau telah diberikan tanggungjawab selaku ketua pasukan dibawah bimbingan Sven-Göran Eriksson, menjadi antara kapten termuda dalam bola sepak Itali.
SS Lazio pada ketika itu dibarisi pemain-pemain seperti Pavel Nedved, Pierluigi Casiraghi, Roberto Mancini, Alen Boksic dan ramai lagi pemain berpengalaman.
Musim tersebut pasti menjadi antara kenangan indah dalam ingatan Nesta apabila jaringan beliau pada minit ke-66 berjaya menghadiahkan trofi Coppa Italia buat Lazio selepas menumpaskan AC Milan 3-2 menerusi agregat.
Lazio dan Nesta hampir menambah kejuaraan kedua apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala UEFA tetapi mereka kecundang ditangan kelab senegara, Inter Milan 0-3 di Parc Des Princes.
Ekoran kecemerlangan Nesta mengemudi SS Lazio, beliau telah dipilih sebagai ‘Serie A Young Footballer of the Year’ pada musim tersebut.
Selepas Eriksson membawa masuk beberapa pemain baharu yang mempunyai reputasi baik, Lazio terus mencatatkan keputusan cemerlang untuk beberapa musim.
Bersama SS Lazio, Nesta telah berjaya meraih beberapa kejuaraan seperti Serie A musim 1999/00, dua mahkota Coppa Italia (1997/98 & 1999/00), UEFA Cup Winners’ Cup 1998/99, UEFA Super Cup 1999/00 dan Supercoppa Italiana 1999/2000.
AC Milan lebarkan kecemerlangan karier
Dengan kualiti terbaik dimilikinya, Nesta menjadi tumpuan dan AC Milan mendapatkan khidmatnya pada 31 Ogos 2002 dengan nilai perpindahan berjumlah €30 juta.
Antara penyebab penghijrahan Nesta ke AC Milan adalah masalah kewangan melanda Lazio memaksa mereka melepaskan pemain-pemain utama.
Bersama Milan, Nesta menjelmakan jentera pertahanan mantap bersama-sama Paolo Maldini, Alessandro Costacurta dan Jaap Stam.
Langkah Nesta cukup bergaya pada musim pertama (2002/03) apabila berjaya membantu AC Milan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang juga merupakan mahkota UCL sulung buat beliau.
Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan sehingga 120 minit permainan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Nesta yang mengambil sepakan keempat tidak mensia-siakan peluang menyudahkan peluang tersebut.
AC Milan turut menjuarai Coppa Italia pada musim yang sama.
Selepas itu, Nesta tidak memandang ke belakang lagi dengan mencipta deretan kejayaan manis bersama I Rossoneri.
Antara kejuaraan yang berjaya dirangkul Nesta adalah Liga Juara-Juara Eropah 2002/03 dan 2006/07, Piala Kelab Dunia FIFA 2003/04, dua kali UEFA Super Cup, Coppa Italia 2002/03 dan Supercoppa Italiana 2004 dan 2011.
Beliau juga beberapa kali memenangi gelaran peribadi ‘Pemain Pertahanan Terbaik Serie A’.
Alessandro Nesta akhirnya meninggalkan San Siro pada 2012 untuk beraksi di Major League Soccer bersama Montreal Impact.
Karier bersama skuad kebangsaan Itali
Seperti dinyatakan, Nesta berjaya mengetuai skuad B-21 Itali menjuarai saingan Eropah pada tahun 1996.
Beberapa bulan kemudian, Arrigo Sacchi membawa Nesta ke England bagi kejuaraan UEFA Euro 1996, bagaimanapun beliau tidak diturunkan pada ketiga-tiga perlawanan perlawanan peringkat kumpulan.
Itali juga gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya selepas finalis kejohanan, Jerman dan Republik Czech menjadi wakil bagi kumpulan C.
Penampilan pertama di pentas antarabangsa buat Nesta adalah ketika Kelayakan Piala Dunia 1998 bertemu Moldova, 5 Oktober 1996.
Ketika saingan sebenar di Perancis, Nesta beraksi pada ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan setelah bergandingan bersama-sama Paolo Maldini, Fabio Cannavaro, Alessandro Costacurta dan Giuseppe Bergomi.
Kecederaan menghalangnya untuk terus beraksi dan Itali tersingkir di peringkat suku akhir menerusi penentuan sepakan penalti menentang tuan rumah dan juga juara kejohanan, Perancis.
UEFA Euro 2000 memperlihatkan kemantapan gandingan Nesta dan Cannavaro tetapi Itali hampa pada perlawanan akhir selepas Sylvian Wiltord dan David Trezeguet menghadiahkan trofi buat Perancis.
Kesabaran Nesta dan Itali berbaloi pada Piala Dunia 2006 di Jerman apabila The Azzuri menjuarai saingan tersebut setelah menumpaskan Perancis pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.
Namun kegembiraan itu mungkin disulami sedikit rasa kecewa buat Nesta kerana tidak dapat berjuang di padang apabila mengalami kecedera pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Republik Czech.
Selepas itu fokus beliau sering terganggu akibat kecederaan dan terpaksa mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
Alessandro Nesta ketika ini
Selepas mengambil keputusan untuk beraksi di Amerika Syarikat, Nesta kemudiannya beraksi di liga India.
Beliau terjun ke bidang kejurulatihan selepas mengemudi Miami FC pada tahun 2015. Sebaik sahaja meninggalkan Miami kira-kira dua tahun kemudian, beliau kembali ke Itali untuk dilantik sebagai pengurus Perugia.
Gagal dengan misi membawa Perugia kembali ke Serie A, Nesta meletakkan jawatan pada 21 Mei dan dua hari lalu beliau telah dilantik menjadi pengurus Frosinone FC, kelab yang baru sahaja turun ke Serie B.
Rumusan
Terlalu banyak perkara yang boleh dikongsikan mengenai insan yang bernama Alessandro Nesta ini, mungkin apa yang dikongsikan sudah cukup untuk mengembalikan nostalgia kehebatan beliau sebagai ingatan peminat bola sepak.
Sinonim dengan nombor 13, beliau adalah pertahanan tengah unggul yang mampu beraksi di posisi bertahan lain dengan penuh ketenangan mengemudi barisan bawah.