Impian Murni Terlaksana, The Ohana Berjaya Temui ‘The Botaks’

The Botaks

Impian murni pasukan bola sepak amatur, The Ohana FC untuk membantu adik-adik ‘The Botaks’ akhirnya menjadi kenyataan selepas #ProjekKasutBolaOhana berjaya direalisasikan kelmarin.

Inisiatif terpuji diusahakan The Ohana ini juga mendapat perhatian beberapa pihak yang sudi menjadi penaja serta memberikan sumbangan.

Shekkinah PR telah bertindak selaku penaja utama dan turut disertai Kaki Jersi Dot Com, Uniqid.my, Aremilworks, Almari_kasut dan Koppa TV.

Rombongan ke SK Lemoi

Wakil bagi setiap penaja bersama-sama para pemain The Ohana FC dan penulis sendiri telah menyertai rombongan ke Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highland.

Untuk pengetahuan anda, jarak dari pekan Ringlet ke SK Lemoi hanyalah 18KM sahaja tetapi ia memakan masa selama dua jam mengikut ‘offroad’.

Dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda, kami seolah-olah berada di dalam ‘roller coaster’ untuk sampai ke destinasi yang ditujui.

Penyerahan sumbangan kepada The Botaks

Sebaik sahaja tiba di SK Lemoi pada jam 2.45 petang (Rabu), kami terus sahaja dihidangkan dengan makanan yang enak dan berpeluang untuk menikmati menu istmewa iaitu ‘Ayam buluh’.

Majlis meraikan para tetamu dan penyerahan sumbangan telah diadakan di Dewan SK Lemoi.

Kami telah dipersembahkan oleh murid-murid sekolah tersebut dengan tarian tradisional Orang Asli, tarian ‘Sewang’.

Menariknya para tetamu juga telah dijemput untuk turut sama menari di atas pentas bersama-sama mereka. Pelbagai gaya dan gelagat dapat dilihat tetapi para pemain The Ohana dan wakil penaja semememangnya sangat ‘sporting’.

Selepas itu, pihak Ohana FC dan barisan penaja membuat serahan barangan kepada pihak sekolah.

Antara kelengkapan yang disumbangkan adalah kasut bola sepak, kasut sukan dan beg kasut kepada semua pemain pasukan The Botaks.

Selain itu, pihak SK Lemoi juga turut menerima satu set jersi pasukan serta keperluan latihan seperti bola, kon ‘marker’, pintu gol untuk latihan dan lain-lain lagi.

Dua pemain bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid dan Rodney Calvin turut memberikan sumbangan peribadi berupa jersi JDT dan PKNS FC untuk disampaikan kepada pihak sekolah.

Decathlon USJ 1 pula berperanan sebagai rakan kerjasama dengan menyediakan latihan dan klinik bola sepak pada hari kedua (semalam).

Ternyata sumbangan yang diterima membuatkan seluruh warga SK Lemoi cukup terharu dengan bantuan diberikan.

Mengejutkan! The Botaks tewaskan The Ohana 

Detik tumpuan yang dinantikan menjelma apabila The Ohana berdepan The Botaks dalam satu perlawanan persahabatan di sebelah petang.

Beraksi sebagai tuan rumah, SK Lemoi mendapat sokongan daripada penduduk tempatan yang tidak ketinggalan hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Jangkaan awal The Ohana bakal menang mudah jelas meleset apabila adik-adik The Botaks mempamerkan corak permainan bertenaga bagi menyaingi pasukan diketuai personaliti TV3, Hanif Miswan itu.

Tidak hairanlah pasukan ini berupaya untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Cameron Highland 2019.

Dengan serba kekurangan termasuklah terdapat batu besar di tengah padang dan hanya mempunyai pintu gol kayu buatan sendiri yang sudah senget, mereka masih mampu bermain bola sepak dengan penuh kematangan.

Dua pemain mereka, Robin A/L Zali dan Lasaros A/L Anuar bakal beraksi buat skuad Pahang bagi menghadapi Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan-Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Aksi dipertontonkan oleh mereka benar-benar mencuri tumpuan penulis!

1001 kenangan bersama The Botaks

Pengalaman meredah onak duri bagi bertemu adik-adik SK Lemoi memberikan beribu kenangan buat setiap peserta #ProjekKasutBolaOhana yang berkampung disana.

Terbit rasa sayu dalam melihat kesusahan serta kekurangan yang dihadapi murid-murid serta pengorbanan besar setiap guru SK Lemoi.

Dalam serba kekurangan itu, warga SK Lemoi tetap menghadirkan ceria buat kami semua dalam tempoh dua hari pertemuan itu.

Rumusan

Usaha The Ohana bagi menjayakan misi ini merupakan satu perkara terpuji yang perlu dicontohi pasukan-pasukan lain tanpa mengira ‘standard’ mereka. Penglibatan pihak penaja juga benar-benar memudahkan lagi urusan The Ohana.

Bagi The Botaks pula, mereka membuktikan kepada kita semua bahawa tiada alasan kukuh untuk kita mengatakan ‘tidak’ kepada kejayaan walaupun hidup dalam serba kekurangan.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN