Paul Pogba menyatakan beliau sukar untuk mencari alasan bagi menjelaskan persembahan buruk mereka ketika tewas 2-0 di tangan Turki – dalam kelayakan Euro 2020. Perancis gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan tersebut.
Gol pada separuh masa pertama oleh Kaan Ayhan dan Cengiz Under memastikan pasukan Turki mengejutkan juara dunia Perancis yang dibarisi nama-nama besar seperti Paul Pogba, Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe.
Turki hampir menang dengan jumlah gol lebih besar dalam perlawanan ini.
Kekalahan ini membuatkan Perancis kini 3 mata di belakang Turki dalam kumpulan H. Turki berada di tangga teratas kumpulan, dan Perancis di tangga ke-2.
Bercakap kepada L’Equipe, Paul Pogba berkata: “Kami sudah bersedia, kami tahu ianya bukan perlawanan mudah kerana ianya perlawanan peringkat tinggi. Kami tahu penyokong Turki akan cuba sedaya upaya menaikkan semangat pasukan mereka.”
“Kami gagal melakukan hantaran paling mudah sekalipun. Inilah sebab kenapa kami gagal mengancam gol lawan. Saya tidak ingat bila kali terakhir kami bermain seteruk ini. Kami harus memikirkan cara dan penyelesaian bagi mendapatkan jawapan.”
“Kami melepaskan banyak peluang dan mereka terus menjaringkan gol. Kami tidak mengancam, dan kami gagal mencetak sebarang percubaan tepat.”
“Kami harus memberikan respon segera pada perlawanan seterusnya.”
Perancis membariskan 9 pemain daripada kesebelasan utama ketika final Piala Dunia menentang Croatia. Hanya Lucas Hernandez dan N’golo Kante yang tidak bermain – digantikan dengan Moussa Sissoko dan Lucas Digne.