Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Nepal semalam merupakan pemanas badan yang terbaik untuk menilai prestasi anak buahnya sebelum menentang Timor Leste dalam saingan kelayakan Piala Dunia.
Jaringan penalti daripada Safawi Rasid dan tandukan Shahrul Saad telah memastikan skuad negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan yang berada di ranking 161 dunia sekaligus memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk menampilkan aksi lebih baik.
Bagaimanapun, Cheng Hoe masih belum berpuas hati dengan prestasi jentera serangan yang banyak mensia-siakan beberapa peluang terhidang di depan gawang Nepal ketika separuh masa pertama.
“Kami kehilangan rentak selepas melakukan pertukaran dan bahagian serangan antara yang perlu diberikan perhatian,”kata Cheng Hoe.
Dalam perlawanan itu, beliau mempertaruhkan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Syafiq Ahmad untuk menunjangi barisan hadapan sambil Safawi Rasid, Syazwan Zainon, Halim Saari dan Akram Mahinan di bahagian tengah.
Malaysia mempamerkan aksi garang dalam tempoh 15 minit pertama dan hampir memperolehi jaringan awal tetapi rembatan Syazwan hanya menggegar sebelah kanan tiang gol pelawat.
“Secara keseluruhannya, kami bermain dengan begitu baik tetapi tidak konsisten. Kami perlu tingkatkan prestasi di bahagian serangan.
“Bukan senang untuk pemain membentuk keserasian (dalam tempoh yang singkat). Pemain perlu tingkatkan kemampuan individu kerana kami sedar perlu tingkatkan prestasi menjelang pertemuan dengan Timor Leste,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro
Safawi Rasid yang menjaringkan gol pertama malam tadi dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan menerima tiket penerbangan tajaan Malaysia Airlines – rakan penerbangan rasmi FAM.
Mengulas mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Safawi tekad kawal nafsu makan untuk memastikan tahap kecergasannya tidak terjejas sebelum beraksi menentang Timor Leste pada hari raya ketiga.
“Pasal pemakanan tiada isu sebab sepanjang Ramadan saya mengawal makanan yang diambil. Pada Hari Raya Aidilfitri nanti saya perlu kurangkan pengambilan makanan berminyak seperti rendang ayam,” jelas Safawi dalam utusan Malaysia