Kejayaan skuad Liverpool merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL-UEFA Champions League) awal pagi tadi bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak tempatan tetapi turut menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Jaringan daripada Mohamed Salah dan Divock Origi telah membantu skuad kendalian Juergen Klopp itu menjulang trofi berkenaan buat kali keenam dalam sejarah pasukan mereka setelah menewaskan Tottenham Hotspur 2-0.
Malah, Dr Zukifli turut berkongsi beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada kejayaan pasukan Liverpool untuk tatapan semua peminat sukan bola sepak di Malaysia.
“Liverpool berjaya menggilap bakat pemain Muslim seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane hingga menjadi pemain handalan dunia dan contoh ikutan karakter yang baik untuk peminat dan penyokong.
“Menariknya, kami membaca berita dari akhbar arab Uqaz beberapa hari sebelum perlawanan, dinukilkan bahawa jurulatih Liverpool Jürgen Klopp tidak menghalang Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk melakukan ibadat puasa, sebaliknya memberi galakan kerana hak kebebasan beragama. Itulah profesionalnya mereka. Permainan tetap cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Pada pagi ini seusai kuliah Subuh di Masjid al-Taqwa, Paroi, kami telah diberitakan tentang kemenangan pasukan Liverpool FC ke atas pasukan Tottenham Hotspur (2 – 0) sekaligus menjadikan mereka dinobatkan sebagai… pic.twitter.com/yqwGX7Qm5A— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) June 2, 2019
Beliau turut mengagumi sikap tidak mudah menyerah kalah daripada pasukan itu yang hampir menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris musim ini apabila ketinggalan satu mata di belakang juara bertahan, Manchester City.
“Semangat tidak mudah mengalah dan segera memperbaiki pasukan walaupun baru tewas di tangan Real Madrid tahun sebelumnya menjadikan ianya satu bentuk sumber inspirasi kepada kita semua.
“Walaupun tidak berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, mereka tidak terus mengalah dan kecewa, malah terus lebih kuat bersemangat.
“Kesabaran dan ketabahan serta kekuatan mental bertahan pengurus pasukan Jürgen Klopp yang akhirnya berjaya mendapatkan trofi UCL pertama kali dalam karier bola sepaknya dan trofi pertama bersama Liverpool setelah 6 kali hanya bergelar Naib Juara di pentas akhir,” katanya.
Liverpool kini memiliki koleksi kejuaraan elit itu lebih daripada gergasi Sepanyol, Barcelona dan Bayern Munich selain seteru utama, Manchester United.
Bagi Tottenham, kejayaan mara ke final buat kali pertama dalam sejarah kelab boleh dianggap membanggakan dan tugas menewaskan Liverpool sentiasa sukar buat kelab dari London itu.
“Setinggi tahniah dan syabas dari kami kepada pasukan Liverpool serta penyokongnya. Kepada penyokong Tottenham Hotspur, kami katakan sabarlah kerana itu adat permainan. Mungkin satu masa nanti anda pula akan menjadi juara. Semoga terus maju jaya. Begitu juga majulah sukan untuk negara kita Malaysia,” ujar Dr. Zulkifli.