Jika anda penyokong Liverpool, pastinya perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) musim lalu di Kiev merupakan satu detik yang cukup sukar, bukan?
Mana tidaknya, menentang pasukan Real Madrid yang dibarisi oleh bintang-bintang ternama sudah cukup sukar, ianya ditambah pula dengan cara mereka tewas dalam perlawanan tersebut hasil kesilapan mudah.
Kekalahan itu cukup perit untuk diterima, namun bagi pertahanan Trent Alexander-Arnold ianya merupakan satu pengajaran berguna buat mereka.
Bagi beliau, skuad Liverpool boleh mengambil pengajaran bagaimana Real Madrid pada ketika itu benar-benar mahukan kejuaraan tersebut pada musim lalu.
“Saya rasa kami jadikan apa yang berlaku di Kiev daripada Real Madrid sebagai pengajaran sepanjang musim ini.”
“Macam mana mereka menang, macam mana mereka mahukan (kejuaraan) dan cara mereka menewaskan kami.”
Kata Alexander-Arnold lagi, sejak dari kekalahan itu telah mengubah Liverpool menjadi pasukan yang lebih matang dari segala aspek.
“Kami semakin matang sebagai sebuah pasukan, kami sudah lebih yakin untuk mempertahankan kelebihan 1 gol dan juga lebih bijak dalam mengawal rekod tanpa bolos kami.”
Musim lalu, Liverpool tewas 3-1 di tangan Real Madrid dalam perlawanan akhir yang menyaksikan 2 kesilapan Loris Karius menjadi tumpuan.
Menentang Tottenham Hotspur di perlawanan akhir kali ini, Jurgen Klopp dan Liverpool perlu memastikan hasil dari perlawanan ini lebih baik buat mereka iaitu dengan menjadi pemenang.