Gabungan pemain muda dan senior yang berpengalaman menjadi taruhan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi menghadapi aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini.
Katanya, beliau kini dalam proses untuk membentuk pasukan kebangsaan yang mantap di masa depan apabila memanggil 11 pemain daripada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang beraksi cemerlang dalam kempen kelayakan AFC B-23 bulan lalu.
Malah, beliau yakin dengan kemampuan barisan pemain yang dipilih kali ini berdasarkan prestasi mereka dalam saingan liga domestik dan peringkat antarabangsa.
“Saya nampak pemain B-23 ramai yang mempunyai potensi besar untuk masa depan pasukan negara. Kita perlu membentuk sebuah pasukan masa depan yang mantap.
“Itu sebabnya saya serapkan ramai pemain muda kerana kalau kita tengok dari segi pengalaman, pencapaian dan prestasi sejak 2017, kriteria itu memberi saya keyakinan. Pemain ini satu hari nanti boleh memberikan persembahan terbaik untuk pasukan negara dan mencipta kejayaan,” katanya dalam Harian Metro
Antara pemain daripada skuad B-23 negara yang dipanggil kali ini ialah Akhyar Rashid, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Dominic Tan Faisal Halim dan Syahmi Safari.
Malah, dua pemain berdarah kacukan iaitu Rodney Celvin Akwensivie dan Corbin Ong turut memperkuatkan barisan pertahanan negara.
“Saya harap dengan adanya generasi masa depan ia akan dapat menjadikan pasukan yang seimbang. Kita ada barisan pemain lengkap di setiap posisi dan apa yang penting kita kena fokus tiga perlawanan ini,” jelas Cheng Hoe.
Selepas perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal pada hari ahad ini, Cheng Hoe kemudian akan memilih 23 pemain terbaik yang akan membawa cabaran negara dalam perlawanan menentang Timor Leste.
“Aksi itu cukup penting dan jika memenanginya, ia menunjukkan kita berjaya capai sasaran tahun ini untuk layak ke peringkat seterusnya,” katanya.