Pemain kebangsaan Filipina Patrick Reichelt mengakui terkejut dengan perkembangan Liga Malaysia selepas lima bulan beraksi bersama Melaka.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, cara pengurusan Liga Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL) jelas menyerlahkan potensi yang ada untuk menjadi liga terbaik di rantau ini.
“Secara jujurnya, saya tidak mengikuti bola sepak Malaysia cuma mengetahui mengenai kelab JDT (Johor Darul Ta’zim) kerana saya pernah bertemu JDT ketika mewakili Ceres-Negros dalam saingan Piala AFC.
“Tapi apabila saya bermain di sini, saya terkejut dengan cara liga ini diuruskan dgn baik, dengan penyiaran perlawanan secara langsung menerusi iflix di mana saya boleh melihat ulangan perlawanan menerusi pelbagai sudut, ini bukan sahaja bagus untuk penyokong malah kepada pemain juga,” katanya.
Reichelt yang kini dipanggil bagi tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Filipina juga pernah beraksi dengan kelab Thailand Singhtarua FC pada 2013-2014 atau kini dikenali sebagai Port FC.
Pemain kelahiran Berlin Jerman itu, berpendapat Liga Thailand adalah yang terbaik di Asia Tenggara ketika ini namun percaya jurang antara Liga Malaysia tidak begitu jauh.
“Bukan mahu merendahkan Liga Malaysia, Indonesia, Filipina tapi kita semua sedar bahawa Thailand berada di tahap lebih baik tapi saya percaya jika dibandingkan dengan Malaysia jurang itu tidak jauh.
“Malaysia ada potensi untuk menjadi yang terbaik di rantau ini. Kamu mempunyai penyokong yang cukup hebat, dan saya baru beberapa bulan di sini tapi sudah bermain banyak stadium dan saya terkejut, stadium di Malaysia adalah bagus. Mungkin masih ada kelemahan tapi jika semua pasukan meningkat, Liga Malaysia juga akan terus maju,” katanya.
Nama Reichelt kini menjadi sebutan penyokong Melaka apabila kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan lapan gol bersama Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera (JDT) serta Kpah Sherman (PKNS FC).
Katanya, ada sebab untuk dia menolak tawaran beberapa kelab Thailand dan menyertai Melaka di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan musim ini.
“Selepas tamat Piala AFF tahun lalu, ada beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat saya tapi saya dimaklumkan oleh ejen bahawa Melaka juga mahu menawarkan kontrak. Zainal sendiri berhubung dengan saya dan apabila ketua jurulatih sendiri yang bercakap dengan saya, itu membuatkan saya yakin untuk memilih Melaka.
“Saya gembira dengan prestasi setakat ini apabila sudah menjaringkan lapan gol. Sebenarnya saya bukanlah pakar dalam menjaringkan gol kerana saya jenis pemain yang lebih kepada mencipta peluang untuk rakan sepasukan. Jika melihat kepada gol yang saya hasilkan adalah atas faktor tuah dan juga bantuan rakan sepasukan.
“Apa pun pencapaian sebagai penjaring gol terbanyak ketika ini mencetuskan rasa semangat untuk membantu Melaka mengharungi baki saingan musim ini,” katanya.