Tinggal dua hari lagi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia akan menutup tirainya, ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah membayangkan beberapa pemainnya bakal ‘angkat kaki’ selepas dipancing oleh pasukan lain.
Kelantan yang kini bergelut dengan masalah dalaman seperti isu tunggakan gaji kelihatan tempang tanpa khidmat tiga pemain import yang membuat keputusan untuk menamatkan kontrak dengan pasukan tersebut.
Tapi ramai masih taktahu, Oktober, November, Disember tahun lepas pun sangkut. Pemain yg dilepaskan beramai-ramai pun ada yang belum dapat pampasan. Februari, Mac, April & Mei masih belum ada bayang. Pemain skuad Presiden pun dah lama takdapat bayaran.
Bibi? Sekarang ambil cuti.— 𝔹𝕖𝕣𝕚𝕥𝕒 𝔹𝕠𝕝𝕒 𝕂𝕖𝕝𝕒𝕟𝕥𝕒𝕟 (@TwtBolaKelate) May 24, 2019
Malah, Yusri kini terdesak untuk menyelamatkan pasukan tersebut yang setakat ini menduduki tangga terakhir Liga Premier dengan 9 mata selepas mengharungi 14 perlawanan dan berdepan risiko tersingkir ke Liga divisyen 3 (M3) musim depan.
“Saya mendengar perkara sedemikian, saya tidak menolak kemungkinan pemain-pemain saya dipancing pasukan lain pada jendela kedua ini yang tinggal beberapa hari saja lagi.
“Sungguh pun begitu, saya beri mereka keputusan terbaik untuk menilai seandainya mereka ingin keluar tetapi ini adalah asam garam dalam bola sepak, saya tidak boleh menyekat mereka keluar kerana itu peluang bagi mereka meningkatkan dan menyebarluaskan bakat mereka.
“Tetapi hakikatnya di sini (Kelantan) mereka berpeluang beraksi bersama pasukan, namun begitu saya harap perkara itu tidak berlaku dan harap mereka kekal bersama dengan kami hingga hujung musim ini,” katanya dalam Harian Metro
Antara pemain yang dikatakan bakal keluar daripada pasukan tersebut ialah bintang tengah skuad kebangsaan, Nik Azli Nik Alias, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Danial Haqim Draman.
Bagaimanapun, Yusri berharap dapat bawa masuk seorang lagi pemain import untuk mengisi posisi di bahagian serangan jika mendapat lampu hijau daripada pihak pengurusan.
“Saya memikirkan posisi penyerang begitu penting pada masa ini dan berharap pemilihan pemain import itu nanti biarlah bersesuaian dengan taktikal pasukan.
“Jika diberi peluang, saya sudah ada calon sendiri tetapi tunggulah pertemuan dengan KAFA selepas ini untuk kata putus dan harap dapat capai hasil yang baik sebelum pintu perpindahan ditutup pada 29 Mei ini,” katanya.