Beberapa hari lalu, Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa ada kemungkinan kelab juara Liga Perdana Inggeris 2018/19, Manchester City berhasrat untuk membeli kelab tempatan.
Kenyataan itu kedengaran selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima kunjungan serta perbincangan bersama delegasi Manchester City yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ferran Soriano di Menara KBS.
Namun, berita itu seolah-olah hanya satu omong kosong selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) membuat satu pendedahan gempar di ‘Instagram story’ milik baginda.
Pendedahan perbualan menerusi aplikasi Whatsapp itu menunjukkan kiriman seseorang yang dikenali sebagai Tincho 2.
Dalam kiriman tersebut, beliau memaklumkan kepada TMJ bahawa Ferran Soriano telah menjelaskan kepadanya tujuan utama kehadiran ke Malaysia.
Menurut sumber tersebut, CEO Manchester City itu ke tanah air untuk menemui penaja dan sememangnya berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia sama seperti bersama negara lain tetapi ia bukanlah bermatlamat untuk membeli kelab di sini.
Jika benar, peminat bola sepak Malaysia hanya sempat teruja untuk beberapa hari sahaja mendengarkan berita mengenai Manchester City ini.
Bagaimanapun, sama-sama kita nantikan kenyataan balas dari YB Syed Saddiq!