FIFA mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan Piala Dunia dengan 48 pasukan yang dirancang akan berlaku pada 2022.
Penangguhan itu mengambil kira isu logistik dan diplomatik. FIFA yakin Piala Dunia dengan 48 pasukan akan dilaksanakan pada 2026, selepas edisi di Qatar.
Tahun lalu, Presiden FIFA – Gianni Infantino mengumumkan bahawa pelan untuk melihat 48 pasukan bertanding dalam Piala Dunia diawalkan ke 2022. Sebelum itu mereka merancang ia akan dilaksanakan pada 2026.
Keputusan itu sememangnya agak mengejutkan ramai pihak. FIFA pula yakin Qatar akan mampu bersedia dengan sebaik mungkin.
Namun kini FIFA kembali dengan pelan asal untuk menganjurkan Piala Dunia dengan 48 pasukan pada 2026.
FIFA menegaskan keputusan itu diambil selepas mendengar pandangan, nasihat dan proses yang sangat komprehensif.
Menurut FIFA lagi, selepas membuat kajian tentang Qatar, mereka mendapati pertandingan dengan 48 pasukan akan memberikan impak secara logistik kepada negara tersebut.
Pada November lalu, Presiden Uefa – Aleksander Ceferin sudah menyuarakan pandangan beliau tentang hasrat FIFA yang mahu menjadikan Piala Dunia Qatar sebagai temasya sulung dengan 48 pasukan.
Menurut Caferin, ianya idea yang sangat tidak realistik. Negara yang lebih besar daripada Qatar pun belum tentu dapat menganjurkannya sebagai hos tunggal.
Caferin membantah keputusan FIFA itu sebaik sahaja FIFA mencapai kesepakatan dalam undian yang dilakukan pada 2017.
Pengumuman penarikan balik hasrat 48 pasukan dalam Qatar 2022 dijangka akan dibuat oleh Infatino dalam kongres FIFA di Paris pada 5 Jun 2019.