Chelsea enggan menghalang Maurizio Sarri pulang ke Itali untuk menyertai Juventus, namun kebenaran tersebut datang dengan satu syarat. Jika benar kelab Turin itu mahukan jurulatih tersebut, kelab Turim tersebut harus membayar pampasan berjumlah £5 juta – sebelum Sarri dibenarkan untuk meninggalkan Stamford Bridge.
Sarri menjadi antara calon utama untuk menjawat jawata pengurus di Juventus selepas Massimiliano Allegri melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini. Chelsea menyedari Sarri telah menarik tumpuan beberapa kelab dari Serie A Itali, termasuk Roma yang juga sedang mencari pengurus baharu.
Masih samar
Buat masa ini tiada perbincangan mengenai kedudukan Sarri bersama Chelsea – selepas hampir dipecat sebanyak dua kali – sehingga selepas perlawanan akhir UEFA Europa League (UEL) menentang Arsenal pada minggu hadapan.
Berjaya melayakkan diri ke saingan UEFA Champions League (UCL) dan kemungkinan untuk memenangi trofi pada musim ini telah berjaya mengekalkan bekas pengendali Napoli itu setakat ini.
Namun kritikan terbuka dari beliau mengenai pra musim ke Amerika Syarikat jelas tidak disenangi oleh pihak pengurusan.
Walaupun pernah secara terbuka menyatakan keinginan untuk terus kekal bersama Chelsea sebelum ini, Sarri mungkin juga berminat dengan prospek untuk kembali ke Serie A pada musim panas ini.
Chelsea perlu pertimbang
Antara yang menjadi pertimbangan Chelsea untuk menentukan masa depan Sarri ialah hubungan pengurus tersebut dengan penyokong yang dikatakan kurang baik. Disebabkan itu, Chelsea enggan menghalang Sarri untuk ke Juventus dengan syarat baki kontrak setahun ditebus oleh kelab Turin itu.
Pengendali berusia 60 tahun ini masih memiliki baki kontrak selama 12 bulan bernilai £5 juta. Sekiranya Juventus bersetuju dengan bayaran tersebut, ia juga bermakna Chelsea tidak perlu membayar sebarang pampasan jika terpaksa memecat jurulatih tersebut.