Beliau kini dijangka akan kembali lagi!
Bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte hampir pasti untuk kembali dalam kancah pengurusan bola sepak apabila beliau dikatakan bersetuju untuk menyertai Internazionale.
Menurut laporan The Guardian, Conte bersedia untuk menggantikan Luciano Spalleti sebagai pengurus dengan kontrak selama 3 atau pun 4 tahun.
Conte yang tidak menjadi mana-mana pengurus sejak meninggalkan Chelsea, kini mempunyai keazaman tinggi untuk kembali ke kancah bola sepak Itali.
Dengan adanya tawaran dari Internazionale, Conte diibaratkan seperti orang yang mengantuk disorongkan bantal.
Beliau mahu membantu pasukan tersebut menjadi pasukan yang kembali mencabar kejuaraan di peringkat domestik.
Keputusan Conte ingin kembali ke Serie A didorong dengan adanya individu bernama Beppe Marotta yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Internazionale.
Mereka berdua pernah berkerja bersama-sama di Juventus satu masa dahulu Conte ingin kembali ke berkerja untuk Marotta semula.
Selain Internazionale, Conte sebenarnya diburu oleh 2 lagi kelab utama di Eropah.
Paris Saint-Germain dan juga Bayern Munich dikatakan cukup berminat untuk membawa Conte ke dakapan mereka namun nampaknya usaha itu dijangka gagal.
Conte tidak menyertai mana-mana pasukan selepas dipecat oleh Chelsea pada tahun terakhir kontrak beliau.
Beliau berjaya menghadiahkan gelaran Premier League dan juga FA Cup buat pasukan London itu dan dianggap sebagai pengurus yang membawa revolusi taktikal 3 pertahanan di liga tersebut.