Cuti sudah habis ‘bro’!
Mungkin itulah ungkapan yang boleh dikaitkan dengan bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho ketika ini selepas beliau dikatakan mendapat tawaran bagi membimbing Celtic pada musim hadapan.
Menurut laporan Goal, bekas penyerang Celtic yang turut pernah memenangi anugerah kasut emas EPL 1997/98, Chris Sutton mendedahkan bahawa Mourinho telah mendapat tawaran daripada gergasi Scotland itu.
Celtic masih mencari pengganti sesuai buat Brendan Rodgers yang memilih untuk ke Leicester City pada Februaru lalu dan tugasan ditinggalkannya di Celtic Park digalas sementara oleh Neil Lennon.
”Amat sukar untuk mengatakan bahawa siapa yang akan menjadi pengurus baharu Celtic kerana ia merupakan satu tugasan besar.”
”Ramai pengurus yang dikaitkan dan nama (Jose Mourinho) kuat kedengaran dengan perkara ini.”
”Saya percaya bahawa dia (Mourinho) telah diberikan tawaran bagi membimbing pasukan.”
Pengurus kelahiran Portugal itu masih ‘bercuti’ daripada mengendali mana-mana pasukan selepas dipecat Manchester United sebaik sahaja The Red Devils tumpas 1-3 ditangan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Disember tahun lalu.
Januari lalu, Jose Mourinho dikatakan telah menolak beberapa tawaran sebaik sahaja beliau dipecat dan salah satunya adalah daripada Benfica.
Beliau bagaimanapun menegaskan masih terlalu awal untuk berbakti di tanah airnya sendiri.
Kemunculan semula Mourinho membimbing pasukan di Eropah pasti menjadi tumpuan ramai kerana beliau sememangnya terkenal dengan sifat ‘angkuh’ dan kelantangan dalam memberikan pendapat.
Sama-sama kita nantikan, kemana destinasi seterusnya buat ‘The Special One’ ini!