Felda United akan melayani kunjungan Terengganu FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada aksi ke-13 saingan Liga Super Malaysia 2019, malam ini.
Malang menimpa buat kedua-dua pasukan pada perlawanan terdahulu apabila Felda United dibelasah 0-6 ketika bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat.
Terengganu pula harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak menggunakan kelebihan tiga gol yang kemudiannya tumpas 3-5 ditangan Petaling Jaya City FC.
Felda United
Felda United kini terperosok ke dasar Liga Super setelah hanya mengumpul 8 mata hasil satu kemenangan, lima keputusan seri dan tujuh kekalahan.
Ketiadaan Hadin Azman yang masih lagi belum dapat diturunkan akibat kecederaan dialami tempoh hari jelas amat dirindui skuad Felda United.
Pengendali pasukan, Nidzam Jamil pasti pening kepala dalam merangka ramuan terbaik buat anak buahnya bagi berdepan Terengganu FC yang turun ke Jengka ibarat ‘singa yang sedang terluka’.
Terengganu FC
Kem Terengganu FC juga ketika ini tidak berada dalam mood yang baik selepas mereka mensia-siakan peluang ketika bertemu PJ City FC.
Situasi tersebut menjurus kepada perletakan jawatan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dan kekosongan itu diisi buat sementara oleh pembantunya, Nafuzi Zain.
Terengganu kini sedang menduduki tangga kesembilan Liga Super selepas meraih 16 mata hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan lima kekalahan.
Kei Ikeda & Lee Tuck
Dengan ketiadaan penyerang import dari Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal yang mengalami kecederaan bahu pada penampilan sulungnya, Kei Ikeda dijangka akan menjadi sandaran buat Felda United bagi mencari jaringan diharapkan.
Ikeda pada pertemuan menentang Melaka United diletakkan di bahagian tengah dan Nidzam berkemungkinan akan kembali meletakkannya di jentera serangan.
Tiga perlawanan yang dilalui oleh Felda United dalam bulan Mei tanpa sebarang gol dapat dihasilkan perlu menjadi azimat berguna buat Ikeda bagi menamatkan kemarau jaringan tersebut.
Lee Tuck pula menjadi tumpuan buat Terengganu FC dengan kualiti hantaran kemas yang dimilikinya serta bijak membuka ruang buat rakan sepasukan bagi menjaringkan gol.
Sekiranya jentera tengah Felda United gagal mengawal ketat pergerakan Lee Tuck, ia akan memberikan masalah yang cukup besar buat The Fighters.
Rekod pertemuan
Lima perlawanan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan memperlihatkan kelebihan buat Terengganu FC setelah mencatatkan tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
- Terengganu FC 2-1 Felda United (MSL 2019)
- Terengganu FC 4-3 Felda United (PM 2018)
- Felda United 1-2 Terengganu FC (PM 2018)
- Terengganu FC 0-3 Felda United (PM 2016)
- Felda United 2-2 Terengganu FC (MSL 2016)
Ramalan Semuanya BOLA
Kedua-dua pasukan sudah pasti mahu bangkit daripada igauan ngeri aksi minggu lalu.
Terengganu FC dilihat memiliki kelebihan di beberapa aspek untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan ini.
Namun, segalanya bakal terungkai pada aksi yang bakal berlangsung jam 10.00 malam ini!
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!
Kredit foto: Felda United & Terengganu FC