Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) dijangka menghadapi cabaran sukar minggu ke-14 saingan Liga Super Malaysia 2019 apabila akan berdepan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, malam ini.
Nasib berbeza buat kedua-dua pasukan pada aksi minggu lalu selepas PKNS FC tewas 1-2 ditangan Kuala Lumpur manakala JDT pula dengan bergaya menundukkan pencabar terdekat, Pahang 2-0 di Larkin.
Prestasi kurang meyakinkan PKNS FC
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal tidak berada di prestasi terbaik mereka ketika ini kerana masih ketandusan kemenangan selepas sekadar mencatatkan dua keputusan seri dan dua kekalahan pada empat perlawanan terakhir.
Dua keputusan seri itu dicatatkan ketika terikat 3-3 ketika menentang Perak (Liga Super) dan 1-1 dalam suku akhir kedua Piala FA bertemu Kedah di Stadium Darul Aman.
Sementara itu, PKNS FC tumbang 1-3 di Shah Alam pada pertemuan suku akhir pertama Piala FA dan minggu lalu dalam saingan Liga Super dikecewakan 1-2 oleh Kuala Lumpur walaupun Romel Morales terlebih dahulu membuka tirai jaringan.
JDT mahu kekal cemerlang
Juara 5 kali Liga Super Malaysia ini pula dilihat cukup bersedia bagi melakarkan satu lagi kemenangan malam ini setelah cemerlang pada tiga perlawanan terakhir pada bulan Mei.
JDT mencatatkan dua kemenangan 2-0 dalam kempen liga setelah berjaya menumbangkan Felda United (Jengka) dan Pahang.
Lebih manis, skuad bimbingan Benjamin Mora itu juga melakarkan sejarah dengan kejayaan menundukkan Kashima Antlers 1-0 di laman sendiri sekaligus kembali menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik.
Gabriel Guerra & Hariss Harun
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kelibat Gabriel Guerra mampu untuk menjadi ancaman besar buat barisan pertahanan JDT malam ini.
Memiliki kawalan bola yang cukup baik dan penyudah berkualiti, bekas pemain import JDT juga adalah penjaring tunggal buat PKNS FC ketika mereka tewas 1-3 pada pusingan pertama.
Pemain JDT yang dijangka bakal mencuri tumpuan pada perlawanan ini adalah ketua pasukan, Hariss Harun.
Hariss telah memainkan peranan yang cukup berkesan dalam mengemudi jentera tengah JDT pada musim ini.
Pada perlawanan bertemu Pahang tempoh hari, pemain kelahiran Singapura itu turut berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-69.
Rekod pertemuan
Berdasarkan lima pertemuan terakhir dalam semua kejohanan, JDT dilihat lebih memiliki kelebihan berbanding PKNS FC dengan tiga kemenangan dan satu seri diraih.
- JDT 3-1 PKNS FC (MSL 2019), 20 April 2019
- JDT 0-1 PKNS FC (Piala FA 2019), 17 April 2019
- PKNS FC 0-0 JDT (MSL 2018), 27 Mei 2018
- JDT 3-0 PKNS FC (MSL 2018), 14 April 2018
- PKNS 0-1 JDT (MSL 2017), 24 Mei 2017
Ramalan Semuanya BOLA
Dengan barisan mantap yang dimiliki serta aksi konsisten dipamerkan pada bulan Mei, JDT pasti dilabel sebagai pasukan pilihan pada perlawanan ini.
Berkelebihan 8 mata di hadapan Pahang juga menjadi azimat berguna buat JDT untuk terus menjarakkan diri dengan pencabar tersebut, yang akan berdepan Perak di Stadium Darul Makmur.
Bagaimanapun dalam bola sepak, ia hanyalah ramalan di atas kertas. Segalanya perlu diterjemahkan dengan baik ketika di padang.
PKNS FC yang ibarat ‘harimau luka’ juga semestinya akan turun dengan semangat juang tinggi bagi kembali meraih kemenangan sekaligus berazam untuk ‘menghadiahkan’ kekalahan pertama buat JDT dalam saingan liga.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!
Kredit foto: PKNS FC & JOHOR Southern Tigers